Search

Isu kepala surat: GRS pun guna jata negeri untuk politik – Datu Rosman

May 18, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pemimpin UMNO Sabah membidas kenyataan Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berhubung isu kepala surat Sekretariat Kerajaan Perpaduan.

Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Sabah, Datu Rosman Datu Ahir Zaman, berkata tindakan Armizan mempertikai penggunaan kepala surat itu dalam pengumuman kerjasama BN-PH adalah satu hipokrasi politik tahap tertinggi.

Katanya menyifatkan tindakan itu penuh kepura-puraan, cetek pertimbangan dan layak diperli, bukan dirai.

“Sebelum sibuk menunjuk jari kepada pihak lain, Armizan sepatutnya terlebih dahulu cermin diri.

“Lihat sahaja bagaimana GRS secara konsisten menggunakan jata rasmi Sabah dalam kenyataan politik yang jelas bersifat partisan. Bukan sekali;tetapi berkali-kali.

“Di mana suara kesedaran perundangan Armizan ketika itu? Diam seribu bahasa? Kepura-puraan ini cukup menjijikkan.

“Jangan berselindung di sebalik topeng kesucian undang-undang, sedangkan tangan sendiri kotor dengan manipulasi simbol rasmi negeri untuk kepentingan politik sempit,” katanya dalam satu kenyataan.

Kepala surat GRS guna jata Sabah dan logo Seretariat Kerajaan Perpaduan diguna BN-PH.

Sebelum ini, Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup memyifatkan penggunaan kepala surat Sekretariat Kerajaan Perpaduan sebagai tidak wajar kerana ia membabitkan banyak parti, bukan setakat BN dan PH.

Datu Rosman berkata,tindakan Armizan mempersoalkan pengumuman rasmi Sekretariat Kerajaan Perpaduan kononnya tidak mewakili semua pihak dalam gabungan hanyalah alasan murahan untuk menggambarkan seolah-olah ada kekeliruan dalam kem penyatuan.

“Hakikatnya, apa yang tidak mampu GRS pertahankan, mereka cuba serang. Armizan tidak layak bercakap soal prinsip atau integriti selagi beliau dan partinya masih menumpang legitimasi di atas nama kerjasama yang rapuh dan oportunistik.

“Jangan menjadi seperti pepatah semut di seberang laut nampak, gajah di depan mata tak nampak. Beliau bercakap seolah-olah jaguh moral, padahal menjadi dalang kepada penduaan standard dalam politik Sabah,” katanya.

Beliau menasihatkan Ahli Parlimen Papar itu supaya tidak terus bermain dengan kata-kata bagi menjaga imej gabungan, sedangkan tujuan sebenar adalah untuk mencetuskan keraguan dan kekeliruan.

“Sabah sudah muak dengan permainan dua wajah seperti ini. Rakyat bukan lagi mudah diperbodoh dengan kenyataan berselindung kononnya atas nama moral.

“Padahal hanyalah serangan bersifat panik apabila melihat kebangkitan kerjasama utuh antara BN dan PH di bumi Sabah,” katanya. – Info X