Search

Isu kesesakan Pelabuhan Sepanggar akan dibentang di Kabinet – Ewon

January 11, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Isu kesesakan di Pelabuhan Sepanggar akan dibentangkan ke Kabinet negeri bagi mencari penyelesaian interim terhadap masalah itu yang dibimbangi menjejaskan aktiviti ekonomi negeri.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick, berkata perkara itu akan dibawa ke Kabinet dalam masa terdekat termasuk cadangan penyelesaian interim yang perlu dilaksanakan segera.

Katanya, penyelesaian interim penting kerana penyelesaian jangka masa panjang seperti projek peluasan Pelabuhan Sepanggar yang sedang dilaksanakan mengambil masa yang lama untuk disiapkan.

“Susulan aduan mengenai isu kesesakan di Pelabuhan Sepanggar, hari ini saya menaiki sebuah prime mover dari depo di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) ke Pelabuhan Sepanggar untuk mengambil kontena yang akan dihantar kepada pelanggan, bagi meneliti sendiri aduan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan di Pelabuhan Sepanggar, di sini, hari ini.

Ewon yang juga Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah, berkata hasil tinjauannya mendapati aduan kesesakan yang disuarakan adalah berasas.

Katanya, beberapa faktor turut dikenal pasti menyumbang kepada masalah itu, termasuk aspek kecekapan operasi yang perlu ditangani segera.

“Saya dapati aduan yang disampaikan sememangnya berasas. Banyak faktor menyumbang kepada kesesakan di Pelabuhan Sepanggar, namun isu kecekapan mesti ditangani dan diperbaiki,” katanya.

Beliau menegaskan isu kesesakan Pelabuhan Sepanggar kini menjadi keutamaan nombor satu di MINDET kerana pelabuhan berkenaan adalah pembolehubah utama kepada keseluruhan ekosistem perindustrian dan keusahawanan di Sabah.

“Kesesakan di pelabuhan ini memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan, kos logistik serta daya saing industri dan usahawan di negeri ini. Oleh itu, ia menjadi keutamaan nombor satu saya di MINDET untuk diselesaikan,” katanya.

Sehubungan itu, Ewon memaklumkan beberapa perbincangan akan diadakan bersama pihak berkepentingan berkaitan sebelum kertas Kabinet dibentangkan bagi mendapatkan kelulusan penyelesaian interim.

Beliau turut memberi jaminan kerajaan Sabah komited untuk memastikan kelancaran operasi pelabuhan demi menyokong pertumbuhan ekonomi Sabah secara mampan. – Info X