KOTA KINABALU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti riadah di Taman Tun Fuad Stephen, Bukit Padang, di sini, berakhir apabila mangsa ditemui selamat di pekan Tuaran, kira-kira 40 kilometer dari sini, petang tadi.
Mangsa, Adwin Janson, 20, sebelum itu dilaporkan hilang selepas terpisah daripada keluarganya kira-kira jam 6 petang, Sabtu lalu, selepas bergerak sendiri di laluan joging ketika aktiviti riadah keluarga berkenaan.
Susulan laporan kehilangan, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas bersama Unit K9, dengan bantuan kakitangan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) serta orang awam, menjalankan operasi SAR di kawasan berkenaan.
Operasi pencarian dibahagikan kepada dua kumpulan meliputi laluan trek belakang SM St Francis Convent dan trek dalam kawasan Taman Tun Fuad Stephen.

Menurut pihak bomba, pada jam 2.14 petang, keluarga mangsa memaklumkan menerima panggilan video daripada orang awam yang memaklumkan mangsa telah ditemui di pekan Tuaran dalam keadaan selamat.
Keluarga kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada pihak bomba dan polis sebelum bergerak ke lokasi bagi menjemput mangsa.
Selepas memastikan mangsa berada dalam keadaan baik dan selamat, operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.25 petang.
Kes sebelum ini turut dimaklumkan kepada polis selepas laporan dibuat oleh bapa mangsa. – Info X