KOTA BHARU: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis bunga ganja bernilai hampir RM1.92 juta hasil pelaksanaan Op Agas menerusi risikan strategik selama hampir empat bulan.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pada 3 Januari lalu, JSJN melancarkan dua siri serbuan terancang di sekitar Kuala Krai, Kelantan, yang turut membabitkan aksi kejar-mengejar berisiko tinggi sebelum tiga lelaki tempatan berusia 32 hingga 50 tahun ditahan.
Menurutnya, serbuan pertama di Jalan Kota Bharu – Gua Musang membawa kepada penahanan seorang suspek selepas perlanggaran kenderaan, dengan rampasan 320 bungkusan plastik lutsinar berisi bunga ganja seberat kira-kira 52 kilogram.

“Serbuan susulan di Taman Sri Guchil pula menyaksikan dua lagi suspek dicekup, dipercayai terlibat secara langsung dalam sindiket sama.
“Jumlah keseluruhan dadah dirampas dianggarkan bernilai RM1.82 juta, manakala nilai keseluruhan rampasan dan sitaan mencecah RM1.92 juta.
“Dadah ini berpotensi merosakkan 104,000 orang, termasuk generasi muda, sekiranya terlepas ke pasaran,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, hari ini.

Beliau berkata, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak September 2024 dengan modus operandi membawa bekalan dari kawasan sempadan sebelum dijadikan transit dan diedarkan ke pasaran tempatan serta antarabangsa.
“Dalang utama disyaki seorang wanita yang beroperasi dari negara jiran dan usaha mengesannya sedang dipergiat melalui kerjasama pihak berkuasa luar negara.
“Semua suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala tindakan pelucuthakan harta diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988,” katanya.

Hussein menegaskan JSJN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak terbabit pengedaran dadah kerana jenayah itu mengancam keselamatan rakyat dan maruah negara.
Orang ramai digesa menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah melalui Hotline JSJN 012-208 7222. – Info X