Search

Kerjasama politik selepas pilihan raya langkah strategik bentuk kerajaan stabil – Joniston

January 11, 2026

Info X Reporters

KIULU: Kerjasama politik yang dibentuk selepas pilihan raya dilihat sebagai langkah strategik bagi memastikan kerajaan mempunyai keupayaan mentadbir dengan stabil dan melaksanakan perancangan pembangunan yang sudah dirangka.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai, berkata pendekatan itu sejajar kedinamikan politik selepas pilihan raya yang perlu diurus dengan kematangan dan berpaksikan kepentingan rakyat serta kestabilan negeri bagi memastikan pentadbiran kerajaan dapat berfungsi secara berkesan.

“Keutamaan selepas pilihan raya ialah memastikan kestabilan pentadbiran. Tanpa asas yang stabil, pelaksanaan dasar dan pembangunan tidak dapat bergerak seperti yang dirancang,” katanya

Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata demikian pada Majlis Kesyukuran Perayaan Krismas dan Tahun Baharu 2026 di Dewan Terbuka Pekan Kiulu, pada Ahad.

Majlis itu dihadiri lebih 1,000 pemimpin masyarakat dan wakil pelbagai agama dan denominasi.

Joniston berkata, GRS kekal dengan pendirian dan hala tuju sendiri, namun bersikap pragmatik dalam membuat keputusan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat dan negeri.

“Pendekatan ini berpaksikan keperluan memastikan kerajaan berfungsi, perkhidmatan kepada rakyat berjalan lancar dan isu-isu setempat dapat ditangani secara berperingkat,” katanya.

Beliau berkata, kematangan politik perlu diterjemahkan melalui keupayaan mengurus perbezaan secara konstruktif, tanpa menjejaskan kepentingan bersama atau kestabilan sosial.

ADUN Kiulu itu menegaskan toleransi kaum dan agama yang diamalkan di Sabah menjadi asas penting kepada keharmonian serta kestabilan jangka panjang negeri.

“Keupayaan pemimpin dan masyarakat untuk duduk bersama merentasi perbezaan kepercayaan, termasuk dalam sambutan perayaan keagamaan, mencerminkan kekuatan dan kematangan kita sebagai sebuah negeri,” katanya.

Jelasnya, kestabilan politik memberi kesan langsung kepada pembangunan di kawasan seperti Kiulu, termasuk kesinambungan projek, penyaluran peruntukan serta penyelesaian isu rakyat secara lebih tersusun.

“Rakyat mahu melihat hasil yang nyata dalam kehidupan seharian dan itu hanya dapat dicapai melalui pentadbiran yang stabil serta kerjasama semua pihak,” katanya.

Joniston menyeru rakyat Kiulu agar terus memelihara semangat kesatuan dan tidak membiarkan perbezaan pandangan atau kepercayaan memecahkan keharmonian komuniti. – Info X