LAHAD DATU: Lima penunggang motosikal ditahan manakala 10 buah motosikal disita dalam Op Motorsikal (Samseng Jalanan) yang dijalankan polis di beberapa lokasi sekitar daerah ini, semalam.
Operasi bersepadu itu dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.
Ia dijalankan dengan kerjasama Cawangan Khas (CK), Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK), Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) serta balai-balai polis di bawah pentadbiran IPD Lahad Datu.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, operasi itu dijalankan di sekitar Pusat Bandar Lahad Datu, Bandar Sri Perdana, Bandar Fajar Centre serta Jalan Lahad Datu – Sandakan/Tawau.

“Lima penunggang lelaki berusia 20 tahun yang ditahan didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah selain menunggang motosikal tanpa lesen memandu. Semua mereka disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Dalam operasi sama, seramai 46 individu dan 35 buah motosikal diperiksa. Sebanyak 32 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, polis turut menyita 10 buah motosikal mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan mengubah suai kenderaan dan penunggang tidak memiliki lesen memandu yang sah.
Dzulbaharin menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memantau pergerakan anak-anak agar tidak terlibat dengan aktiviti lumba haram dan samseng jalanan yang boleh membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.

“PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti tidak bermoral ini dan operasi akan terus dipergiatkan bagi membendung kegiatan berkenaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti samseng jalanan diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Lahad Datu di talian 089-881255,” katanya. – Info X