Search

Hajiji ‘Pembawa Berkat’ Industri Kreatif Sabah – SAFVA

January 11, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Persatuan Filem dan Visual Sabah (SAFVA) menyifatkan pewujudan portfolio Ekonomi Kreatif di bawah Kerajaan Negeri sebagai satu “rezeki yang dimakbulkan” oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Hajiji Noor kepada penggiat seni dan industri kreatif negeri ini.

Presiden SAFVA, Chester Pang berkata, penubuhan Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (KBSK) yang diterajui Datuk Nizam Abu Bakar Titingan merupakan langkah strategik, bijak dan bertepatan dengan keperluan semasa industri kreatif Sabah.
“Saya amat yakin tahun 2026 bakal menjadi ‘Tahun Emas’ kepada penggiat kreatif Sabah. Komitmen yang ditunjukkan oleh kepimpinan Datuk Seri Hajiji wajar diberi sokongan penuh bagi merealisasikan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang holistik dan inklusif,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) SAFVA Ke-10 yang berlangsung di sini, hari ini.

Mengimbas kembali pertemuan bersama Datuk Nizam pada Ogos 2025, Chester menyatakan kekagumannya terhadap visi yang dikongsikan menteri berkenaan dalam memperkasa industri kreatif Sabah. Pertemuan itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Sabah, Datuk Mandela Malakun.

Menurut beliau, rombongan SAFVA ketika itu turut disertai wakil Institut Pembangunan Sabah (IDS), Pusat Ekonomi Kreatif dan Inovasi Sabah (SCENIC) serta Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Sabah (JATIKS).

“Visi Datuk Nizam membuktikan beliau mampu membawa seni kreatif Sabah ke tahap yang lebih jauh berbanding apa yang diperjuangkan oleh generasi penggiat terdahulu sejak 2015.

“Saya menyeru semua ahli dan penggiat seni agar bersabar serta memberi ruang secukupnya kepada kementerian untuk merangka dasar ekonomi kreatif yang komprehensif mengikut acuan industri Sabah,” katanya lagi.

Dalam majlis sama, Chester turut merakamkan ucapan tahniah kepada Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi (KPSTI) atas pelantikan Mohd Lan Muslim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu SCENIC.

Beliau berkata, hasil kunjungan hormat SAFVA ke pejabat SCENIC Jumaat lalu, pihaknya optimis terhadap hala tuju kepimpinan Mohd Lan dalam memacu industri kreatif tempatan melalui integrasi teknologi, inovasi dan kreativiti berimpak tinggi.

Sementara itu, Setiausaha Agung SAFVA, Jade Morris memaklumkan bahawa SAFVA kini merupakan ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (GAFEMA) yang mewakili Sabah.

Beliau berkata, pada tahun lalu SAFVA turut memperkukuhkan struktur organisasi dengan penubuhan lapan zon utama di seluruh Sabah iaitu Kota Kinabalu, Kota Marudu, Ranau, Sandakan, Lahad Datu, Tawau, Keningau dan Beaufort.

“Bagi tahun 2026, fokus utama SAFVA adalah kepada latihan pembangunan modal insan serta memperkukuh kerjasama strategik bersama kementerian dan institusi seperti KBSK, KPSTI, SCENIC dan Universiti Malaysia Sabah (UMS),” katanya.

Tambah beliau, SAFVA turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama TV Sabah serta Surat Hasrat (LoI) bersama Persatuan Profesional Pasca-Produksi Malaysia (MyPOST) bagi pelaksanaan pelbagai aktiviti sepanjang tahun ini.

Terdahulu, majlis AGM berkenaan turut menyaksikan penyampaian sumbangan kebajikan berjumlah RM2,000 hasil kutipan derma penasihat dan ahli SAFVA kepada Jerry Lunsin, ahli SAFVA Zon Kota Marudu yang terjejas akibat musibah kebakaran rumah.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Ketua Biro Kebajikan dan Rekreasi SAFVA, Johari Abdullah. – Info X