Search

Isu pencemaran plastik di Sabah perlu ditangani secara bersepadu – Dr Joachim

November 25, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pencemaran plastik di Sabah perlu ditangani menerusi usaha bersepadu mengukuhkan undang-undang dan dasar berkaitan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, berkata langkah itu perlu berikutan peningkatan pencemaran plastik yang semakin membimbangkan.

Katanya, masalah itu menjadi isu global dan Sabah turut menerima kesan serius alam sekitar disebabkan penggunaan bahan plastik.

“Isu ini bukan saja menjadi perhatian di peringkat antarabangsa tetapi Sabah juga tidak terkecuali daripada menghadapi masalah yang sama.

“Pencemaran plastik mengancam alam sekitar dan memberi kesan mendalam kepada setiap aspek kehidupan, termasuk kesihatan ekosistem dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri itu berkata demikian ketika merasmikan Simposium No Plastic in Nature, di sini, hari ini.

Simposium itu dianjurkan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) dengan kerjasama WWF-Malaysia dan disokong Sabah CSO-SDG Alliance.

Dr Joachim berkata, Sabah yang kaya dengan sumber alam semula jadi seperti terumbu karang, pantai, bukit-bukau dan Gunung Kinabalu, kini menghadapi ancaman pencemaran plastik yang menjejaskan keindahan alamnya.

“Banyak kawasan yang dahulunya bersih kini tercemar dengan sisa sampah. Di lautan, plastik terapung dan menyelaputi terumbu karang, manakala pantai serta pulau-pulau kita dipenuhi dengan plastik.

“Ini bukan sahaja mencemarkan alam, tetapi juga memberi kesan buruk kepada imej Sabah sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia,” katanya.

Jelasnya, penyelesaian terhadap isu pencemaran plastik memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta, komuniti dan pihak berkepentingan lain.

Sementara itu, Dr Joachim berkata penganjuran simposium itu menjadi platform bagi pihak berkepentingan berkongsi maklumat, pandangan, dan inisiatif berkaitan pengurusan plastik.

“Saya berharap, melalui kerjasama semua pihak, kita dapat membangunkan strategi intervensi yang lebih mapan yang memberi tumpuan kepada pengurangan sisa plastik serta pencegahan kebocoran plastik ke alam sekitar.

“Harapan saya juga agar undang-undang dan dasar pengurusan dapat diperkukuh dan dipertingkatkan untuk menangani isu pencemaran plastik di Sabah dengan lebih berkesan,” katanya.

Katanya, masyarakat tidak boleh memandang ringan isu itu, sebaliknya memahami bahawa tanggungjawab menangani pencemaran plastik terletak di bahu setiap individu. – Info X