Search

Dakwaan skandal rasuah: PM lindungi ADUN adalah fitnah – PKR Sabah

November 25, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: PKR Sabah menyangkal dakwaan yang mengatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melindungi beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dikaitkan dengan skandal rasuah di negeri ini.

Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin, berkata dakwaan yang mengaitkan tindakan itu dengan usaha mendapatkan lebih banyak kerusi untuk Pakatan Harapan (PH) pada PRN17 nanti adalah fitnah semata-mata.

Berikutan itu, katanya PKR Sabah akan membuat laporan polis berhubung fitnah yang menuduh Perdana Menteri cuba melindungi dan menutup laporan rasuah terhadap beberapa ADUN) di Sabah.

“Laporan ini jelas fitnah dan berniat jahat terhadap Perdana Menteri yang dikenali sebagai penentang rasuah dan salah guna kuasa,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini.

Katanya, PKR Sabah juga menyedari ada pihak mendesak Perdana Menteri untuk menekan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya segera menahan dan menyiasat individu terbabit.

“Sebagai makluman bukan saja menghalang siasatan, sebenarnya menggunakan kuasa Perdana Menteri menekan SPRM melakukan siasatan terhadap individu tertentu adalah campur tangan dan merupakan penyalahgunaan kuasa seorang Perdana Menteri.

“Oleh itu lebih baik kita beri ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan dengan bebas tanpa campur tangan dan memastikan tatakelola pihak dalam agensi tidak diganggu gugat.

“Kita yakin Perdana Menteri tidak akan campur tangan dalam siasatan ini dan berikan ruang kepada SPRM untuk bergerak bebas menjalankan siasatan,” katanya. – Info X