Search

‘Ambil tindakan tegas dakwaan kekasaran terhadap wanita’

November 25, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap sebarang bentuk kekasaran yang disasarkan terhadap wanita.

Gesaan itu disuarakan ketuanya, Datuk Redonah Bahanda, berhubung insiden kekasaran yang didakwa dihadapi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Norazlinah Arif di DUN pada minggu lalu.

Katanya, insiden melibatkan Norazlinah dengan ADUN Merotai, Sarifuddin Hata yang dilapor membabitkan tindakan fizikal itu adalah sesuatu yang sangat dikesali.

“Sebagai seorang wanita dan pemimpin, insiden ini mencerminkan tindakan yang bertentangan dengan prinsip profesionalisme, etika dan keadilan, terutamanya terhadap wanita dalam politik.

“Sebagai seorang pemimpin wanita, saya ingin menekankan bahawa insiden ini bukan saja mencemar institusi politik tetapi juga memberi isyarat negatif kepada golongan wanita yang ingin menceburi dunia kepimpinan.

“Wanita sering berdepan dengan pelbagai cabaran, termasuk diskriminasi dan keganasan dalam usaha mereka memperjuangkan hak rakyat.

“Insiden ini menunjukkan perlunya usaha yang lebih gigih dalam memastikan suasana politik bebas daripada sebarang bentuk intimidasi, termasuk keganasan fizikal,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau mengulas dakwaan kononnya Norazlinah dikasari Sarifuddin dengan ‘menumbuk’ bahunya dalam insiden yang berlaku di DUN pada minggu lalu hingga berlaku kesakitan kecil.

Bagaimanapun, Sarifuddin dilaporkan sudah meminta maaf atas insiden berkenaan dan pemimpin Parti Warisan itu dilaporkan berkata tiada niat untuk menyakiti Norazlinah.

Redonah berkata, pihak berkuasa dan badan legislatif perlu mengambil tindakan sewajarnya berikutan insiden itu, termasuk tindakan disiplin yang tegas terhadap mana-mana pihak yang bersalah demi memastikan keadilan ditegakkan.

Selain itu, katanya usaha juga perlu dilaksanakan bagi memperkukuh perlindungan terhadap wanita menerusi pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat bagi melindungi wanita, terutama dalam politik bagi mencegah sebarang ancaman fizikal atau mental.

Katanya, usaha meningkatkan kesedaran etika dalam politik juga perlu dilakukan dengan memberi latihan berterusan kepada pemimpin dalam pengurusan konflik, komunikasi dan etika agar insiden kekasaran seperti itu tidak berulang.

“Sebagai pemimpin, kita dipilih untuk berkhidmat kepada rakyat, bukan untuk memperjuangkan ego atau kepentingan peribadi. Insiden sebegini hanya mengalihkan perhatian daripada isu-isu utama yang memerlukan penyelesaian.

“Justeru, saya menyeru semua pemimpin, terutamanya lelaki, untuk menghormati wanita dan memupuk suasana kerja yang selamat dan adil.

“Setiap pemimpin, tanpa mengira jantina, harus menjadi contoh kepada masyarakat dan bukan mencetuskan konflik yang menjejaskan kredibiliti institusi demokrasi.

“Sebagai seorang wanita, pemimpin dan ibu, saya berdiri teguh bersama rakan-rakan saya untuk memastikan insiden seperti ini tidak mencemarkan nama baik politik dan perjuangan kita untuk rakyat,” katanya.

Difahamkan, Norazlinah turut membuat laporan polis berkaitan insiden itu pada Jumaat lalu. – Info X