Search

‘Tiada balak di kawasan bukit batu kapur projek kilang simen di Tongod’ – Masiung Banah

November 25, 2024

Info X Reporters

TONGOD: Pengerusi Borneo Cement (Sabah) Sdn Bhd (BCS), Datuk Masiung Banah menyangkal dakwaan kononnya syarikat yang membangunkan kilang klinker dan simen di Kampung Kayawoi, di sini, turut melakukan aktiviti pembalakan.

Katanya, tuduhan itu tidak berasas memandangkan tiada kayu balak di kawasan bukit batu kapur yang diluluskan untuk aktiviti kuari dan pembangunan kilang klinker dan simen di kampung berkenaan.

Beliau mengakui aktiviti pembalakan pernah dilaksanakan di sebahagian kawasan rendah di tapak projek itu, namun ia berlaku beberapa tahun lalu, sebelum cadangan kilang klinker dan simen itu dikemukakan kepada kerajaan.

Masiung (kanan) diberi taklimat mengenai pelaksanaan projek fasa pertama kilang simen di Tongod.

“Tiada balak dalam kawasan bukit batu kapur yang dicadangkan untuk kilang klinker dan simen di Kampung Kayawoi.

“Walaupun pada awalnya terdapat sisa kayu balak di kawasan rendah tetapi aktiviti pembalakan telahpun berlaku sejak beberapa tahun lalu sebelum kilang berkenaan dicadangkan.

“Dakwaan kononnya syarikat itu turut melakukan pembalakan semasa menjalankan kerja-kerja tanah bagi membina laluan ke tapak kuari kilang tersebut adalah tidak benar,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut itu berkata demikian ketika melawat kerja-kerja fasa pertama di salah satu lokasi tapak kuari BCS, di Kampung Susui, di sini.

Turut hadir pada lawatan itu ialah Pengarah Urusan BCS, Micheal Kinsuan; Pegawai Daerah Tongod, Yuesri Ismail Yusof dan Pegawai Pembangunan Masyarakat, Tokyo Hasim Omar.

Masiung (empat kiri) melawat kerja tanah fasa pertama kilang simen di Tongod.

Katanya, hampir keseluruhan jajaran bukit batu kapur di kawasan itu yang sudah lulus Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) untuk projek berkenaan kurang ditumbuhi kayu kayan.

Masiung berkata, kerja-kerja fasa pertama projek itu ialah pembinaan tapak kuari, kerja tanah dan membina jalan ke lokasi yang padat dengan lapisan batu kapur.

“Kami tidak akan melanggar tata kelola yang disyaratkan EIA. Lagipun setiap inci kerja kami dipantau sepenuhnya oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya.

Cadangan kilang itu yang menelan pelaburan RM1.2 bilion hasil usahasama kerajaan negeri dan Sri Alam Setia Sdn Bhd melalui penubuhan BCS dan Sinoma Industry Bhd, sebuah syarikat pengeluar simen terbesar China.

Seluas 500 ekar kawasan klinker diwartakan kepada Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) untuk projek itu dan 200 ekar lagi diberikan kepada BCS untuk tapak kuari, pejabat kilang dan kuaters pekerja. – Info X