PENAMPANG: Polis Sabah sentiasa bersiap siaga dan menjalankan rondaan di kawasan pantai timur Sabah bagi menghadapi sebarang kemungkinan terutamanya berhubung isu tuntutan Sulu ke atas Sabah.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pihaknya akan menambah baik serta mengemas kini rondaan dan risikan terhadap perkembangan isu tuntutan berkenaan.
Katanya, polis dan agensi penguatkuasa lain yang ditugaskan di kawasan pantai timur Sabah berada pada tahap yang terbaik ketika ini.
“Kita sentiasa pantau perkembangan isu berkenaan dan memastikan bahawa setiap maklumat yang diperolehi akan dimasukkan dalam penugasan.
“Justeru, masyarakat tidak perlu risau kerana pihak keselamatan akan memberikan perkhidmatan yang terbaik dalam menangani isu tuntutan tersebut,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.
Terdahulu, pada 6 Jun, Malaysia melakar kejayaan bersejarah selepas Mahkamah Rayuan Paris mengekalkan keputusan membenarkan Malaysia mencabar award yang diputuskan oleh Dr Gonzalo Stampa seorang penimbang tara Sepanyol pada 25 Mei 2020, dalam kes tuntutan kumpulan Sulu.
Malaysia sekali lagi memperoleh kemenangan apabila keputusan Mahkamah Rayuan The Hague di Belanda pada 27 Jun juga memihak kepada negara ini.
Sementara itu, Jauteh menjelaskan pihaknya belum menerima maklumat terkini berhubung cadangan pengecilan kawasan perintah berkurung di perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).
“Sebelum ini, polis mencadangkan supaya kawasan perintah berkurung di ESSZONE dikecilkan dan daerah Tawau dikeluarkan dari perintah berkenaan.
“Kita masih menunggu perkembangan terbaharu dan keputusan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai cadangan tersebut,” katanya.
Terdahulu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani pada Mei lalu berkata, Kawasan pelaksanaan perintah berkurung di ESSZONE akan dikaji semula termasuk mengecilkan lagi kawasan berkenaan.
Katanya, sebagai permulaan, perairan Tawau akan dikeluarkan daripada perintah berkurung di ESSZONE kerana pihaknya yakin kawalan keselamatan di perairan daerah itu memuaskan. – Info X