KOTA BHARU: Jabatan Penjara menafikan dakwaan penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman bahawa kehidupan dalam penjara bergantung kepada wang dan pengaruh.
Pengarah Kanan Dasar Kepenjaraan Jabatan Penjara Mohamad Rosidek Musa berkata pihaknya mempunyai prosedur operasi standard (SOP) bagi menangani sebarang salah laku dan perkara negatif dalam kalangan penghuni penjara.
“Dakwaan itu tidak benar kerana dalam konteks kepenjaraan, kita fokus kepada program pemulihan dan cuba atasi perkara negatif yang berlaku di penjara.
“Kita akui mungkin ada perkara yang berlaku, tetapi ia tidak seperti didakwa. Ramai yang bebas daripada penjara berjaya membina kehidupan baharu, jadi kenapa kita mahu fokus kepada perkara negatif,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Program Bookathon Jabatan Penjara Malaysia 2026 di Penjara Pengkalan Chepa, di sini, pada Isnin.
Beliau berkata setiap salah laku di dalam penjara akan ditangani mengikut peraturan dan prosedur ditetapkan, manakala SOP turut ditambah baik dari semasa ke semasa.
Terdahulu, Yasin menerusi podcast AididitMyWay mendakwa wujud hierarki dalam kalangan banduan berdasarkan faktor kewangan dan pengaruh.
Dalam pada itu, Mohamad Rosidek berkata keadaan kesesakan di Penjara Pengkalan Chepa masih terkawal, namun pihaknya mengambil pendekatan dengan mewujudkan penjara satelit dan program reintegrasi penghuni yang membolehkan mereka bekerja di luar penjara sekali gus membantu menguruskan jumlah penghuni.
Sementara itu, Program Bookathon Jabatan Penjara Malaysia 2026 berkenaan menerima sumbangan 10,000 naskhah buku untuk kegunaan prospek di penjara seluruh negara kecuali Sabah dan Sarawak.
Mohamad Rosidek berkata program yang dilancarkan Februari lepas itu dilaksanakan dengan kerjasama Boustead Holdings Berhad, Royal Chulan dan Syarikat Muda Osman Sdn Bhd (SMO) bagi menggalakkan masyarakat menyumbangkan buku baharu atau terpakai untuk kegunaan prospek.
“Sumbangan itu merangkumi pelbagai bahan bacaan termasuk buku motivasi, fiksyen dan agama, manakala SMO turut menyediakan diskaun 20 peratus bagi pembelian buku yang disumbangkan menerusi kempen di 31 premisnya,” katanya.–BERNAMA