Search

Kes pelancong China, resort di Semporna disemak segera

September 21, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengarahkan pihak berkuasa pelancongan negeri menyemak segera sebuah resort di Semporna susulan insiden membabitkan seorang pelancong wanita warga China, baru-baru ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, pemeriksaan itu merangkumi status lesen penginapan serta langkah keselamatan dan sekuriti yang dilaksanakan pihak pengurusan.

Katanya, keselamatan setiap pelawat ke Sabah perlu kekal sebagai keutamaan, terutama ketika negeri itu bersiap sedia menyambut Visit Sabah 2027.

“Saya memandang serius insiden yang dilaporkan membabitkan seorang pelancong China di sebuah resort di Semporna.

“Saya mengalu-alukan tindakan pantas polis menahan seorang suspek dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan menyeluruh tanpa sebarang spekulasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jafry berkata, agensi pelancongan berkaitan turut diarahkan berkoordinasi dengan agensi penguat kuasa sekiranya diperlukan.

Menurutnya, sebarang kelemahan yang dikenal pasti menerusi pemeriksaan itu perlu ditangani segera.

“Pengusaha pelancongan, khususnya penyedia penginapan, bertanggungjawab memastikan premis mereka menyediakan persekitaran yang selamat dan terjamin kepada tetamu.

“Menjelang Visit Sabah 2027, kita tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan pelawat,” katanya.

Beliau berkata, Sabah perlu terus diperkukuhkan sebagai destinasi pelancongan yang membuatkan setiap pengunjung berasa selamat, dihormati dan dialu-alukan.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pengusaha sektor pelancongan supaya mengutamakan aspek keselamatan dan pematuhan syarat bagi menjaga imej serta keyakinan pelancong terhadap Sabah.

Terdahulu, seorang pelancong wanita China berusia 25 tahun yang menginap di sebuah resort di Jalan Kamiri, Semporna, tersedar selepas mendapati seorang lelaki berada di dalam biliknya kira-kira jam 3 pagi.

Mangsa bergelut dengan lelaki itu sebelum melarikan diri dan cedera di lutut akibat terjatuh selepas suspek menarik rambut mangsa manakala suspek berusia 18 tahun ditahan polis di resort berkenaan kira-kira jam 8 malam pada hari sama. – Info X