Search

Jadikan Tun Siti Hasmah inspirasi isteri pemimpin – Ewon

September 28, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sumbangan Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali boleh dijadikan inspirasi terutama kepada isteri pemimpin dalam melengkapkan peranan suami memimpin negara.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick menyifatkan Siti Hasmah yang meninggal dunia pagi tadi sebagai seorang isteri yang banyak menyumbang dalam kepemimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Berikutan itu, Ewon yang juga Presiden UPKO berkata pemergian Allahyarhamah pada usia 100 tahun adalah satu kehilangan besar kepada negara.

“Mewakili rakyat Sabah khususnya di kawasan saya dan juga daripada UPKO, kami ucapkan takziah kepada mabtan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad atas pemergian Tun Siti Hasmah.

“Kita telah melihat sumbangan Tun Siti Hasmah selama dalam kepimpinan membantu Tun M memimpin negara.

“Ia satu kehilangan besar dan saya amat yakin sumbangan itu boleh dijadikan inspirasi kepada banyak orang terutama isteri pemimpin bagaimana peranan isteri boleh melengkapkan tanggungjawab suami dalam memimpin dan mentadbir negara.

“Saya mengucapkan takziah kepada keluaraga Tun Dr Siti Hasmah,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara SEDCO Communications Sdn Bhd (SCOMM) dengan Hyatt Regency Kinabalu, SICC dan ITCC, di sini, pada Isnin.

Sementara itu, Pengerusi SEDCO, Datuk Masiung Banah yang juga ADUN Kuamut menyifatkan Tun Siti Hasmah sebagai figura besar yang dikenali banyak berjasa kepada negara.

“Bagi pihak SEDCO dan rakyat saya di Kuamut, saya ingin ucap takziah kepada Tun M atas kehilangan pasangan atau isteri tersayang.

“Semua tahu gandingan figura negara ini banyak memberikan jasa dan pengorbanan ke atas pembangunan Malaysia dan sudah pasti rakyat Malaysia merasai kehilangan tun,” katanya. – Info X