KOTA KINABALU: Seorang Pengarah Eksekutif sebuah syarikat berkaitan perlombongan emas dan penjawat awam di sebuah jabatan kerajaan negeri, masing-masing mengaku tidak bersalah memberi dan menerima suapan berjumlah RM18,000 antara April hingga Oktober 2025.
Kedua-dua tertuduh berumur 60 tahun itu, Chong Tzu Khen, dan Robert Robin Millip membuat pengakuan di hadapan Hakim Andi Razalijaya A Dadi ketika dihadapkan di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, di sini, pada Isnin.
Tzu Khen yang berstatus Pengarah Eksekutif Syarikat Wullersdorf Resources Sdn Bhd, manakala Robert yang memegang jawatan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Galian (Kontrak), Jabatan Tanah dan Ukur Sabah masing-masing berdepan tiga pertuduhan memberi dan menerima rasuah.
Tzu Khen didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, manakala Robert didakwa mengikut Aeksyen 17 (a) akta yang sama.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Tzu Khen pada sekitar April 2024 didakwa secara rasuah memberikan suatu suapan, iaitu pinjaman berjumlah RM10,000 tunai Robert di sebuah restoran di Taman Fortuna, Kota Kinabalu.
Bagi pertuduhan kedua, Tzu Khen didakwa secara rasuah memberi suatu suapan, iaitu pinjaman RM3,000 tunai kepada Robert di sebuah kedai kopi di Kota Kinabalu pada Oktober 2024.

Pertuduhan ketiga pula membabitkan dakwaan memberi suapan, iaitu pinjaman berjumlah
RM5,000 secara tunai kepada Robert pada Oktober 2025.
Ketiga-tiga perbuatan rasuah dikatakan bertujuan untuk memudahkan pengoperasian perlombongan emas yang dikendalikan syarikat tertuduh.
Tertuduh bagaimanapun tidak mengaku bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan dan mahkamah menetapkan 27 Oktober depan sebagai tarikh pengurusan kes.
Mahkamah turut mengenakan ikat jamin RM8,000 dengan dua penjamin tempatan terhadap tertuduh, manakala pasport antarabangsa dan pasport terhadnya diserah kepada mahkamah.
Tertuduh turut diperintah melapor diri setiap sebulan sekali di pejabat SPRM yang terdekat dan dilarang mendekati saksi pihak pendakwaan.
Sementara itu, Robert berdepan tiga pertuduhan di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dengan pertuduhan pertama membabitkan tindakan secara rasuah memperoleh suapan iaitu pinjaman RM10,000 secara tunai daripada Tzu Khen sebagai upah memudahkan pengopresaian perlombongan Syarikat Wullersdorf Resources Sdn Bhd.
Tindakan itu dikatakan dilakukan di sebuah restoran di Taman Fortuna Kota Kinabalu pada April 2024.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Robert didakwa masing-masing menerima RM3,000 dan RM5,000 daripada Tzu Khen bagi maksud yang sama pada Oktober 2024 dan Oktober 2025.
Robert juga tidak mengaku bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan dan mahkamah menetapkan 27 Oktober depan sebagai tarikh pengurusan kes.
Dia juga dikenakan jaminan RM8,000 dengan dua orang penjamin tempatan, diperintah melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM terdekat, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mendekati saksi pendakwaan.
Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Norsham Saharom, manakala peguam Datuk Ram Singh mewakili tertuduh. – Info X