Search

Kelajuan Sheng Shu-Ning jadi pemisah buat Pearly-Thinaah

September 28, 2026

BERNAMA

AICHI: Kelajuan tempo permainan yang konsisten pada set penentuan menjadi pemisah buat beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah, yang terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa selepas tewas kepada pasangan China, Liu Sheng Shu-Tan Ning, pada separuh akhir Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, hari ini.

Dalam aksi di Ichinomiya City Municipal Gymnasium itu, Pearly-Thinaah yang menghuni ranking kelima dunia memberi tentangan sengit sebelum akur 21-16, 20-22, 12-21 dalam tempoh 85 minit kepada gandingan nombor satu dunia berkenaan.

Pearly berkata mereka berjaya mengawal permainan pada set pertama dan kedua, namun Sheng Shu-Ning terus mengekalkan kelajuan serta fokus yang sama pada set penentuan sehingga memberikan tekanan kepada gandingan negara.

“Pada set pertama dan kedua, kami masih mampu mengawal permainan, tetapi pada set ketiga, mereka masih mampu mengekalkan kelajuan permainan dan fokus yang sama, dan saya fikir itu memberikan banyak tekanan kepada kami,” katanya ketika ditemui.

Pearly mengakui mereka juga tidak cukup tenang ketika mata-mata penting berbanding pasangan China yang lebih matang dalam mengendalikan situasi kritikal.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan, Rexy Mainaky, pula menyifatkan kegagalan Pearly-Thinaah melangkah ke final sebagai sesuatu yang amat mengecewakan selepas pasangan itu dilihat mempunyai peluang untuk menamatkan saingan dalam dua set.

Rexy berkata pasangan negara hampir menguasai set kedua, namun beberapa kesilapan ketika mata-mata kritikal memberi ruang kepada Sheng Shu-Ning untuk bangkit sebelum mengheret perlawanan ke set penentuan.

“Memang sangat sayang kerana kita boleh pergi lebih daripada itu. Pada set kedua, kita sudah hampir mendapatkannya tetapi ada sedikit kesilapan pada mata-mata kritikal.

“Pada mata-mata kritikal itu, mereka (Sheng Shu-Ning) mungkin lebih berani kerana mereka bermain lebih bebas, nothing to lose,” katanya.

Menurut Rexy, aspek kekuatan fizikal turut menjadi antara perbezaan ketika pasangan negara berdepan tekanan dalam set penentuan.

“Dalam set ketiga kita kalah dari segi kekuatan,” katanya.

Kekalahan itu menyaksikan Pearly-Thinaah gagal melangkah ke final, namun tetap menamatkan kempen dengan pingat gangsa, sekali gus menyamai pencapaian terbaik Malaysia dalam acara beregu wanita sejak badminton diperkenalkan di Sukan Asia pada 1962.

Pingat gangsa sebelum ini diraih menerusi Tan Gaik Bee-Ng Mei Ling di Jakarta 1962, Rosalind Singha Ang-Teoh Siew Yong di Bangkok 1970 dan Vivian Hoo-Woon Khe Wei di Incheon 2014.

Thinaah berkata mereka mengambil sisi positif daripada kekalahan itu dan akan meneliti semula perlawanan berkenaan bagi mengenal pasti aspek yang perlu diperbaiki.

Beliau berkata selepas Sukan Asia, mereka akan pulang ke Malaysia kira-kira seminggu untuk menjalani proses pemulihan sebelum meneruskan saingan dalam jelajah Eropah di Denmark dan Perancis.

Dalam pada itu, Rexy tetap berpuas hati dengan persembahan keseluruhan skuad negara yang disifatkan semakin menunjukkan kesepaduan, baik dalam kem lelaki mahupun wanita.

Beliau berkata beberapa aspek yang dikenal pasti perlu diperbaiki akan diberi perhatian sebagai persiapan menghadapi kejohanan akan datang, termasuk Sukan SEA tahun depan dan sasaran jangka panjang menuju Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

“Kita memang lihat pasukan lelaki dan wanita mempunyai pasukan yang mantap dan bermain dengan baik.

“Untuk Sukan SEA tahun depan dan Olimpik LA, kita mungkin perlu bekerja lebih dalam perkara yang kita nampak sekarang. Dari segi kemahiran, pemain kita masih okey tetapi mungkin perkara di luar daripada itu, termasuk aspek kekuatan, perlu kita perbaiki,” katanya.–BERNAMA