KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Jahid Jahim menafikan dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan dirinya dalam isu perlombongan mineral seperti dilaporkan portal berita Malaysiakini, kelmarin.
Dalam satu kenyataan hari ini, Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) itu menyifatkan artikel Malaysiakini bertajuk ‘Lagi Kejutan Sabah: Skandal pelombongan selubungi STAR, pemimpin tertinggi PBS’ sebagai dakwaan yang tidak berasas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli itu berkata, dakwaan yang ditulis portal terbabit kononnya beliau menerima rasuah sebanyak RM150,000 berkaitan skandal perlombongan adalah tidak benar sama sekali.
Beliau menegaskan tidak terbabit dalam sebarang skandal perlombongan seperti yang didakwa, selain tidak pernah menerima sebarang dana berkaitan kelulusan mahupun pemberian lesen perlombongan di Sabah.
“Ini kerana kementerian saya tidak terlibat dalam pemprosesan lesen tersebut. Sebagai ADUN Tamparuli, tiada Lesen Penerokaan atau sebarang lesen berkaitan perlombongan yang diluluskan dan atau dikeluarkan di kawasan saya,” katanya.
Jahid turut menekankan bahawa wujud amalan tidak terkawal daripada pihak tertentu yang menggunakan atau menyalahguna media untuk mencipta naratif palsu mengenai rasuah sebelum sebarang siasatan rasmi dijalankan.
“Tindakan Malaysiakini yang cuba mencipta naratif palsu ini merupakan satu pelanggaran undang-undang kerana ia mengajak orang awam membuat penghakiman sebelum proses undang-undang yang sewajarnya dijalankan,” katanya.
Beliau turut menyokong kenyataan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang turut menafikan dakwaan sama terhadapnya.
Jahid menyokong kenyataan Jeffrey mengenai penggunaan media untuk menggugat kestabilan kerajaan negeri sedia ada menjelang PRN17 dan merujuk kepada ‘buku panduan pertukaran rejim’ yang sudah lama digunakan di Sabah sejak 1960-an.
Beliau kini sedang mendapatkan nasihat undang-undang daripada peguamnya mengenai kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap Malaysiakini dan dua penulis artikel terbabit. – Info X