Search

Albert Tei, dua ADUN tidak akun salah beri dan terima rasuah

June 30, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ahli perniagaan, Datuk Tei Jiann Cheing berdepan pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM350,000 yang dikaitkan dengan permohonan lesen untuk mencari gali mineral di negeri ini.

Beliau didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, di sini, hari ini mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Turut didakwa ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy dan ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof @ Josree Yacob, masing-masing berdepan pertuduhan menerima rasuah daripada Jiann Cheing.

Ketiga-tiga mereka mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan masing-masing dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Jason Juga.

Jiann Cheing, 37, atau dikenali sebagai Albert Tei didakwa memberi suapan RM200,000 dan RM150,000, masing-masing kepada Andi dan Dr Yusof sebagai dorongan membantu menguruskan permohonan ‘Prospecting License’ bagi mendapatkan lesen mencari gali mineral untuk dua syarikat.

Jika sabit kesalahan, Jiann Cheing boleh hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Sementara itu, Andi, 44, yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan negeri, didakwa secara rasuah menerima suapan berupa wang tunai berjumlah RM150,000 daripada Jiann Cheing.

Ia sebagai dorongan untuk membantu menguruskan permohonan ‘Prospecting License’ syarikat Sinaran Hayat Sdn Bhd bagi mendapatkan lesen untuk mencari gali mineral di negeri ini.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 12 Mei 2023, jam lebih kurang 11 malam di hadapan kediaman tertuduh di Jalan Pantai Sembulan.

Dalam pada itu, Dr Yusof, 69, didakwa menerima rasuah RM200,000 daripada Jiann Cheing sebagai dorongan membantu menguruskan permohonan ‘Prospecting License’ syarikat Nusa Kini Sdn Bhd bagi mendapatkan lesen untuk mencari gali mineral di negeri ini.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 6 Mac 2023, jam lebih kurang jam 2 petang, di Rooftop Bar & Grill @ Hilton Kota Kinabalu, di sini.

Andi dan Yusof didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Mahkamah kemudian menetapkan 5 Ogos depan untuk tarikh pengurusan kes.

Kedua-dua mereka dibebaskan dengan jaminan RM50,000 tetapi hanya RM10,000 didepositkan kepada mahkamah bersama seorang penjamin tempatan.

Albert pula dibebaskan dengan jaminan RM60,000 tetapi hanya RM15,000 didepositkan kepada mahkamah bersama seorang penjamin tempatan.

Mahkamah turut memerintahkan ketiga-tiga tertuduh melapor diri sekali sebulan di pejabat SPRM dan menyerahkan pasport mereka kepada mahkamah.

Ketiga-tiga tertuduh turut diingatkan supaya tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai dibicarakan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nurul Izzati Sapifee, Rustam Sanip dan Pegawai Pendakwa Rekhraj Singh, manakala peguam Datuk Ram Singh, Rizwandean Bukhary M Borhan, Shahlan Jufri dan Datin Jaharah Patimbangi mewakili Andi dan Dr Yusof.

Jiann Cheing pula diwakili peguam Edward Paul, Batholomew Jingulam dan Jul Hamri Jumhani. – Info X