KENINGAU: Jalan Keningau – Kimanis yang ditutup sejak 8 Mac lalu berikutan kejadian tanah runtuh dijangka dibuka semula dalam masa dua hingga tiga hari lagi.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata jangkaan itu berdasarkan kerja pembersihan tanah runtuh di dua lokasi yang sudah hampir siap.
Bagaimanapun, katanya pembukaan semula laluan menghubungkan Keningau dengan Kimanis itu bergantung kepada keadaan cuaca.
“Kalau melihat kepada prestasi kemajuan kerja semasa saya menjangkakan kerja-kerja pembersihan dan pemotongan cerun-cerun yang terlibat boleh siap dalam tempoh dua hingga tiga hari daripada sekarang.
“Namun, ia juga tertakluk kepada keadaan cuaca..pada petang ini cuaca sedikit berhujan, tapi kerja-kerja pembersihan dan pembaikan dapat dijalankan,” katanya.
Beliau ditemui selepas meninjau meninjau lokasi kejadian tanah runtuh di dua lokasi iaitu di Kilometer 11.2 dan Kilometer 14.3 Jalan Keningau – Kimanis.
Menteri Kerja Raya negeri itu berkata, selain kerja pembersihan dan pembentukan cerun, pihak kontraktor juga akan memasang penghadang jalan untuk memastikan keselamatan pengguna apabila dibuka nanti.
“Di Kilometer 14 juga ada satu jalan sementara yang sudah siap dibina tetapi ia hanya sesuai untuk kenderaan ringan saja.
“Jadi, saya nasihatkan kepada orang awam untuk menunggu notis daripada JKR Sabah apabila jalan ini sudah sedia untuk dibuka kepada pengguna,” katanya.
Beliau berkata, pihak kontraktor berusaha menyiapkan kerja pembersihan secepat mungkin yang dilaksanakan setiap hari dari pagi hingga lewat petang.
“Saya agak berpuas hati dengan kemajuan kerja ini setelah jalan ini ditutup hampir atau lebih 10 hari yang lepas,” katanya.
Penutupan laluan berkenaan menyebabkan pengguna beralih ke laluan Kota Kinabalu-Keningau melalui Tambunan, selain Jalan Sipitang – Tenom sebelum ke Keningau melalui Jalan Tenom – Keningau. – Info X