Search

Kerajaan hargai pengorbanan pasukan keselamatan dan kesihatan

March 18, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengiktiraf kepentingan pasukan keselamatan dan pekerja kesihatan, terutama pengorbanan mereka dalam memastikan keamanan dan ketenteraman awam di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata petugas barisan hadapan mempertaruhkan nyawa mereka setiap hari untuk melindungi rakyat dan negeri.

Katanya, ia termasuk ketika negeri ini dilanda bencana sejak tahun lalu seperti banjir di Kota Marudu, Kota Belud, Telupid, Pitas, Beluran, Lahad Datu, Sandakan, Beaufort, Tongod dan Paitan, baru-baru ini.

Hajiji menyerahkan sumbangan kuih raya kepada pasukan keselamatan.

“Malah, maklumat terkini dari Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan bahawa fenomena hujan berterusan akan bermula dari 18 Mac hingga 21 Mac di Sabah, Sarawak dan selatan Semenanjung.

“Selain banjir, terdapat juga bencana kebakaran tahun ini di Likas yang mengakibatkan 80 keluarga kehilangan tempat tinggal.

“Semasa bencana ini, petugas barisan hadapan kita, terutamanya badan beruniform, pasukan keselamatan dan petugas kesihatan melaksanakan tanggungjawab mereka tanpa mengenal penat lelah untuk menyelamatkan nyawa. Terima kasih tidak terhingga saya ucapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis penyampaian kuih muih Hari Raya Aidilfitri kepada barisan hadapan di Menara Kinabalu, di sini, pada Selasa.

Hajiji berkata penyampaian kuih muih Hari Raya itu sangat bermakna kerana ia menandakan penghargaan Kerajaan Negeri terhadap pengorbanan petugas barisan hadapan.

Hajiji meninjau kuih raya yang disumbangkan kepada pasukan keselamatan dan kesihatan.

“Ia menjadi lebih bermakna kerana majlis ini diadakan semasa bulan Ramadan. Anggaplah sumbangan ini sebagai suatu simbol dari rakyat Sabah bagi menghargai jasa anggota keselamatan dan petugas kesihatan yang bertugas semasa perayaan dan menjadi motivasi untuk terus memberi perkhidmatan dengan dedikasi,” katanya.

Beliau kemudiannya menerima barangan raya yang disumbangkan 33 kementerian, jabatan dan GLC sebelum menyerahkannya kepada 15 pasukan keselamatan dan pekerja kesihatan. – Info X