KOTA KINABALU: Seekor buaya bersaiz 1.2 meter berjaya ditembak anggota Jabatan Hidupan Liar (JHL) ketika operasi menjejaki buaya di Pantai Tanjung Aru, di sini, hari ini.
Kehadiran reptilia itu disedari oleh petugas pemantau terdiri daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan JHL Sabah, kira-kira jam 3.30 petang.
Pegawai APM Kota Kinabalu, Kapten (PA) Aizex Junior berkata, petugas pemantau mendapati seekor buaya berada di tembok berhampiran Pantai Tanjung Aru 3.
“Selepas penilaian keselamatan, dua das dilepaskan oleh pegawai JHL, Jofri Ebrahim dan tembakan itu tepat mengenai buaya berkenaan.
“Bangkai buaya kemudian dibawa pihak JHL Sabah untuk pelupusan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kehadiran buaya itu dipercayai dari muara sungai Petagas disebabkan dua hari pemantauan petugas terserempak dengan reptilia berkenaan.
“Menurut JHL Sabah juga, buaya yang viral dua hari lalu dipercayai dari muara Sungai Petagas.
“Operasi pemantauan ditangguhkan jam 4.30 petang dan akan disambung kira-kira jam 9 malam ini,” katanya. – Info X