KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menyifatkan tuduhan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mengatakan kerajaan gagal menyelesaikan masalah asas rakyat sebagai retorik politik.
Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Kota Kinabalu, Mohd Bahrin Abd Karim, berkata tuduhan itu tidak benar, sebaliknya kerajaan negeri sentiasa komited menyelesaikan masalah rakyat.
Tegasnya, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) PH-Plus jelas dalam komitmennya menyelesaikan pelbagai isu rakyat termasuk bekalan air, elektrik, infrastruktur dan pembangunan ekonomi, walaupun berdepan pelbagai tuduhan pembangkang.
“Katanya, Kerajaan Negeri mengakui cabaran dalam isu bekalan air bersih di Sabah, namun sudah mengambil langkah proaktif jangka pendek dan jangka panjang untuk menyelesaikannya.
“Pelbagai inisiatif, termasuk penyelenggaraan dan naik taraf loji-loji rawatan air, membina loji rawatan air baharu sedang giat dilaksanakan dengan peruntukan besar bagi mempercepatkan penyelesaian masalah ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Sebelum ini, Bung Moktar mempersoalkan kejayaan yang didakwa dicapai kerajaan negeri GRS dalam mentadbir negeri dengan baik yang katanya bertentangan dengan hakikat dihadapi rakyat Sabah yang ketika ini masih berdepan masalah keperluan asas seperti air.
Mohd Bahrin berkata, kerajaan sebelum ini gagal menyelesaikan masalah berkenaan menyebabkan ia diwariskan sehingga era Kerajaan GRS-PH Plus.
“Namun di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, Kerajaan Negeri melakukan sebaik mungkin untuk menyelesaikan masalah ini.
Katanya, begitu juga gangguan bekalan elektrik di Sabah bukanlah isu baharu, namun kerajaan negeri sedang melaksanakan langkah-langkah bagi memperkukuh sistem tenaga.
Jelasnya, usaha itu termasuk pembangunan projek penjanaan baharu serta peralihan kepada tenaga hijau sebagai penyelesaian jangka panjang.
Mengenai pembangunan infrastruktur, katanya dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, GRS melaksanakan pelbagai projek termasuk pembinaan jalan raya dan projek Lebuhraya Pan Borneo yang kini dalam fasa kritikal pelaksanaan.
“Jalan kampung serta luar bandar juga terus dinaik taraf secara berperingkat bagi memastikan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Mohd Bahrin berkata, Sabah kini menjadi antara destinasi utama pelaburan di Malaysia, dengan usaha menarik pelaburan asing dan domestik yang dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah.
Beliau berkata, program latihan dan keusahawanan turut diperluaskan bagi membantu rakyat meningkatkan kemahiran serta daya saing.
“Sebarang kelemahan yang wujud sedang ditangani oleh kerajaan dengan usaha berterusan, bukannya sekadar dijadikan modal politik seperti yang dilakukan oleh parti pembangkang.
“Rakyat Sabah bijak menilai antara realiti dan retorik politik. Kerajaan negeri akan terus berusaha untuk kemajuan Sabah dan tidak sekadar berjanji kosong,” katanya. – Info X