KOTA KINABALU: Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib pada Rabu mendedahkan pernah dilantik sebagai pengerusi sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri yang hampir bankrap.
Beliau berkata diarahkan untuk mengetuai GLC terbabit bagi melaksanakan pembaharuan agar tidak ditutup disebabkan masalah pengurusan yang dihadapi syarikat berkenaan.
“Saya pernah diminta untuk menjadi pengerusi sebuah GLC yang hampir bankrap dan apabila saya masuk ke syarikat itu, memang banyak masalah yang berlaku.
“Macam mana sebuah syarikat yang mempunyai lebih 500 ‘outlet’ tetapi hampir muflis. Apa yang berlaku saya dapati ada masalah dengan kakitangannya.
“Jadi, kita lakukan rombakan, tukar kakitangan. Tindakan itu menimbulkan kemarahan tetapi saya tidak peduli kerana tujuan saya ke GLC itu adalah untuk melaksanakan pembaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Transformasi GLC Sabah 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Rabu.

Konvensyen itu yang dianjurkan kementeriannya dengan kerjasama HRD Corp dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pegawai pengurusan yang mewakili 74 GLC Sabah.
James mendakwa banyak GLC berdepan masalah berikutan kelemahan pengurusan yang menyebabkan syarikat mengalami kerugian.
Katanya, perkara itu antara punca GLC negeri diarah menghantar laporan prestasi setiap tiga bulan sekali kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Ketua Menteri sebelum ini, katanya meminta laporan dari setiap GLC untuk dipantau bagi memastikan ia mampu menjana keuntungan yang dapat disumbangkan semula kepada kerajaan negeri.
Berikutan itu, katanya usaha memantapkan pengurusan GLC negeri diberi tumpuan dalam usaha menjana pendapatan dan keuntungan syarikat.
“Jadi kita mahu GLC di Sabah ini dapat dimantapkan supaya kita banyak hasil yang dapat disumbangkan kepada kerajaan,” katanya.
Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan, James berkata konvensyen julung kali yang dianjurkan bersama HRD Corp itu bertujuan untuk memantapkan GLC di Sabah.
“Kolaborasi ini pertama kali dilaksanakan dan ia membabitkan kerjasama dengan sebuah agensi persekutuan untuk memberi kursus kepada GLC di Sabah.
“Menerusi program ini, saya berharap ia dapat memberi satu pengalaman atau pengetahuan baharu akepada semua kakitangan GLC di Sabah ini.
“Kalau boleh kita mahu konvensyen seperti ini diadakan dengan lebih kerap demi memantapkan lagi perkhidmatan kakitangan semua GLC di Sabah,” katanya.
Ends