Search

Mansuhkan JKKKP di Sabah – Ewon

January 28, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan digesa memansuhkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) di Sabah sebagai langkah menghormati perundangan Sabah.

Menyuarakan gesaan itu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick, berkata perkara itu mengambil kira kewujudan Enakmen Pentadbiran JKKK yang dikuatkuasakan di Sabah.

Ahli Parlimen Penampang itu berkata, undang-undang yang dikuatkuasakan kerajaan negeri perlu dihormati sebagai sebahagian daripada agenda reform nasional.

“Penampang menyokong penuh agenda reform nasional seperti penyasaran semula subsidi-subsidi kerajaan, pindaan perlembagaan bagi menghadkan tempoh penggal maksimum Perdana Menteri, pengwujudan perundangan pendanaan parti politik, pemisahan tugas Peguam Negara dan Pendakwa Raya, semakan ke atas perundangan-perundangan lapuk dan inisiatif-inisiatif pendigitalan jentera penyampaian kerajaan.

“Penampang berpendapat agenda reform ini harus mencakupi kepentingan Sabah dan Sarawak iaitu pelaksanaan penuh Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Ini termasuklah menghormati perundangan negeri berkaitan pentadbiran di kampung. Sabah mempunyai Enakmen Pentadbiran JKKK, justeru Penampang menggesa Kerajaan Persekutuan memansuhkan JKKK Persekutuan di Sabah,” katanya.

Ewon berkata demikian ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada sesi Persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur pada Selasa.

Katanya, campur tangan Kerajaan Persekutuan dalam urusan pentadbiran kampung, sedangkan Sabah telah mempunyai kerangka perundangan sendiri, menimbulkan rasa sangsi dan ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat Sabah.

Sehubungan itu, Ewon menegaskan perkara berkenaan memerlukan penjelasan serta maklum balas yang jelas daripada Kerajaan Persekutuan pada masa ini.

“Rakyat Sabah telah menyampaikan mesej yang jelas dan menuntut agar perkara ini diberi perhatian sewajarnya,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa hubungan erat di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sememangnya penting dan perlu dipelihara.

Bagaimanapun, katanya ia mesti dilaksanakan dengan menghormati kedudukan Sabah sebagai rakan pembentuk Malaysia, selaras dengan MA63 dan syarat yang dipersetujui bersama. – Info X