Search

Jangan guna pendakwaan SPRM sebagai senjata politik – Nizam

June 19, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mengecam pihak yang menggunakan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap ADUN sebagai senjata politik.

Ketua Penerangannya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata pihaknya tidak mahu pendakwaan terhadap individu digunakan sebagai senjata politik untuk menghentam kerajaan negeri.

Katanya, kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor komited terhadap prinsip integriti dan akauntabiliti.

“Kami tidak menyembunyikan salah laku, kami tidak melindungi sesiapa tetapi kami juga tidak akan membenarkan sesiapa menggunakan pendakwaan terhadap individu sebagai senjata politik untuk menjejaskan kestabilan kerajaan yang sah dipilih rakyat,” katanya, di sini, hari ini.

Nizam yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, berkata tindakan SPRM terhadap ADUN dalam kes rasuah bukan yang pertama di Sabah.

“Saya perlu menegaskan bahawa ini bukan kes pertama SPRM mengambil tindakan. Apa yang membezakan kerajaan pada hari ini ialah kami tidak berdolak-dalih.

“Kami tidak menyorok di sebalik slogan, tidak menyerang SPRM, dan tidak cuba mengalihkan tumpuan.

“Kami biarkan undang-undang berjalan seperti yang wajar dalam sebuah kerajaan yang matang dan memartabatkan Keluhuran Perlembagaan,” katanya.

Katanya, Ketua Menteri mengambil pendirian yang tegas dalam perkara itu dan tidak tunduk kepada tekanan atau permainan persepsi berikutan siasatan SPRM terhadap dua ADUN kerajaan negeri.

“Bagi mereka yang suka menangguk di air keruh, saya nasihatkan berhenti menari di atas persepsi murahan.

“Pendakwaan terhadap individu tidak sama dengan pendakwaan terhadap kerajaan. Jika ada yang menyangka ini ruang untuk melemahkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), mereka silap langkah.

“Rakyat perlu tahu bahawa kerajaan negeri ini tetap stabil, tetap kukuh, dan tetap bekerja. Biarlah mahkamah yang menentukan siapa bersalah, kerana hanya di mahkamah proses penentuan yang sebenar mengikut fakta dan bukti-bukti akan berlaku,” katanya.

Beliau berkata, semua pihak perlu berpegang kepada proses keadilan yang mana seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah di mahkamah.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mendedahkan dua ADUN Sabah dan seorang individu awam bakal didakwa pada akhir Jun ini kerana terbabit dalam kes rasuah dikaitkan dengan isu permohonan lesen cari gali mineral. – Info X