Search

Pekerja maut tayar meletup ketika isi angin

June 19, 2025

Info X Reporters

KENINGAU: Seorang pekerja kedai tayar maut dalam keadaan tragis selepas kepalanya parah akibat terkena hentakan tayar yang meletup ketika mengisi angin pada tayar dalam kejadian di sebuah kedai tayar di Jalan Durok, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa Arizal Etin, 20, yang parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, hasil siasatan di tempat kejadian mendapati mangsa ditemui tidak sedarkan diri di premis berkenaan.

“Menurut saksi yang juga rakan mangsa, dia melihat mangsa sedang mengepam sebiji tayar sebelum tayar itu meletup dan hentakan yang kuat terkena muka mangsa.

“Semakan rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) di premis itu juga mendapati mangsa sedang mengepam angin pada sebiji tayar dan meletup secara tiba-tiba sebelum terkena kepala mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yampil berkata, pemeriksaan pada tubuh mangsa tiada sebarang kecederaan atau luka dan lebam yang boleh dikaitkan dengan perbuatan jenayah.

“Melainkan luka pada kepala mangsa yang disyaki akibat terkena hentakan tayar.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Keningau untuk tindakan lanjut,” katanya. – Info X