Search

Jangan jadikan isu Ambalat modal politik tarik sokongan – Bung Moktar

July 4, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: UMNO Sabah mengingatkan semua pihak supaya tidak mempolitikkan isu Ambalat sebagai modal untuk menarik sokongan menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata isu yang membabitkan kepentingan negeri dan negara harus diangkat dengan penuh tanggungjawab dan tidak dijadikan modal untuk meraih sokongan politik jangka pendek.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa Sabah berhak untuk dilibatkan dalam apa juga kerangka rundingan bersama yang membabitkan kawasan pertikaian Ambalat.

“UMNO Sabah akan memastikan suara negeri ini dibawa secara formal dan konstruktif, termasuk melalui Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) agar kepentingan rakyat Sabah selaku jiran terdekat kawasan Ambalat terus terpelihara.

“Sebagai Ketua UMNO Sabah, saya ingin menegaskan bahawa isu Ambalat tidak wajar dijadikan bahan politik berlebihan sehingga menimbulkan kekeliruan rakyat.

“Kita juga harus mengelak daripada mengheret isu sempadan maritim ini ke gelanggang sentimen politik tempatan, kerana ia hanya akan membuka ruang polemik tanpa menyumbang kepada penyelesaian sebenar.

“Pendekatan diplomasi adalah jalan paling rasional dalam menangani pertindihan tuntutan maritim di kawasan Ambalat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau turut menegaskan kepada kerajaan Persekutuan bahawa Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia di Jakarta pada 29 Julai ini seharusnya membuka ruang dan peluang kepada kerajaan negeri untuk turut serta dalam rundingan strategik itu.

“Ini penting agar suara dan kepentingan Sabah diiktiraf secara sah dan jelas dalam apa-apa keputusan dasar berkaitan pembangunan bersama kawasan Ambalat.

“Oleh itu, saya menyeru semua pihak agar kekal rasional, kita mesti bersatu mempertahankan kedaulatan negara, sambil memastikan rakyat Sabah terus memperoleh manfaat wajar daripada sebarang hasil rundingan Ambalat,” katanya. – Info X