Search

KUS agensi sehenti percepat pembangunan utiliti, tarik pelaburan di Sabah

July 4, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri hari ini melancarkan Koridor Utiliti Sabah (KUS), sebuah agensi khas yang akan membantu mempercepat pembangunan dan menyelaras kemudahan utiliti untuk kepentingan rakyat dan menarik pelaburan.

Agensi itu berfungsi sebagai sebuah agensi sehenti bagi mempercepatkan urusan permit kerja utiliti dan membangunkan pangkalan data aset utiliti.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata ia satu inisiatif yang bakal menjadi pemangkin utama pembangunan di Sabah sejajar komitmennya dalam memperkukuh sistem penyampaian infrastruktur.

“Penubuhan KUS bukan sekadar pengenalan sebuah entiti baharu tetapi mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri dalam usaha mempercepat pembangunan, menyelaras utiliti dan menarik pelaburan baharu ke negeri ini.

“KUS diberi mandat sebagai agensi sehenti bagi mempercepatkan urusan permit kerja utiliti dan membangunkan pangkalan data aset utiliti negeri secara menyeluruh,” katanya pada Majlis
Pelancaran KUS, di sini, pada Jumaat.

Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Abidin Madingkir.

KUS adalah sebuah agensi di bawah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah, Qhazanah Sabah Berhad.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Qhazanah Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob dan Pengerusi KUS, Datuk Dr Johnson Tee.

Hajiji menyifatkan inisiatif baharu itu selaras dengan pelan pembangunan negeri yang menekankan pembangunan menyeluruh dan penyampaian perkhidmatan yang efisien, telus serta berorientasikan masa hadapan.

Katanya, penggunaan teknologi digital dan peta utiliti bersepadu melalui KUS, mampu mempercepat kelulusan projek, mengurangkan pertindihan kerja dan meningkatkan keselamatan kerja lapangan.

“Pendekatan ini memberi impak besar bukan saja kepada kelancaran pelaksanaan projek kerajaan dan swasta tetapi juga menyokong agenda pendigitalan negeri, daya saing pelaburan dan pembangunan bandar pintar.

“Ini contoh sinergi sektor awam-swasta yang mampu melahirkan penyelesaian berimpak tinggi untuk rakyat,” katanya.

Katanya, penyelarasan proses utiliti disasar bakal membuka lebih banyak kawasan baharu untuk pembangunan yang dapat merangsang kegiatan ekonomi dan menjana peluang pekerjaan, khususnya di luar bandar.

Kewujudan agensi itu, katanya akan memperkukuh logistik industri dan memperluas capaian bekalan asas seperti elektrik, air serta telekomunikasi kepada masyarakat luar bandar.

Terdahulu, Dr Yusof berkata penubuhan KUS menandakan permulaan fasa baharu dalam pembangunan utiliti yang lebih tersusun, telus dan cekap di Sabah.

“QSB melihat inisiatif seperti KUS sebagai satu bentuk pemangkin strategik bukan hanya untuk mempermudah proses permohonan dan pelaksanaan utiliti tetapi juga sebagai asas kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan, berdaya saing dan bersifat jangka panjang,” katanya.

KUS ditubuhkan sebagai agensi penyelaras sehenti untuk menyelaraskan semua urusan berkaitan permohonan izin lalu dan permit kerja utiliti serta pengurusan aset utiliti di Sabah yang merangkumi utiliti di atas tanah, bawah tanah dan bawah air agar lebih cekap, sistematik dan pantas. – Info X