Search

JANS potong 24 sambungan paip haram di Suang Parai, Sepanggar

June 16, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Penguatkuasa Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) hari ini memotong sebanyak 24 penyambungan paip haram dilakukan penghuni setinggan Kampung Suang Parai, Sepanggar.

Sambungan paip haram secara terus di paip utama JANS itu antara punca gangguan bekalan air kepada pengguna berdaftar di sekitar Sepanggar.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya berkata, awal minggu ini, JANS sekali lagi mengesan 24 sambungan haram daripada paip utama berhampiran Kampung Suang Parai, di Sepanggar.

“Susulan itu, pada hari ini, penguat kuasa JANS telah menghantar pasukannya untuk operasi memotong paip haram berkenaan.

“Operasi pemotongan sedang diteruskan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pasukan penguat kuasa JANS melakukan pemotongan paip haram di Suang Parai, Sepanggar.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata, penyambungan haram ini adalah salah satu punca mengapa bekalan air ke tangki utama Universiti Malaysia Sabah (UMS) terjejas.

“Ketika ini, penguat kuasa JANS sedang membuat pemantauan berterusan terhadap situasi berkenaan sehingga skim vendor (pembekalan air kepada penghuni setinggan) dilaksanakan sepenuhnya di kawasan yang dikenal pasti,” katanya. – Info X