KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud menyatakan kekecewaannya terhadap tindakan penganjur Perhimpunan #KamiMahuAir Sabah yang membenarkan individu tanpa dokumen menyertai mereka.
Beliau berkata, penganjur yang terdiri daripada kumpulan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu sudah diingatkan supaya tidak melakukan perkara yang tidak sepatutnya jika mahu meneruskan hasrat berhimpun di hadapan Menara Kinabalu, di sini, Jumaat lalu.
Katanya, beliau kecewa apabila mendapat tahu kumpulan berkenaan membawa individu tanpa dokumen berdasarkan tangkapan sembilan individu dibuat pihak polis selepas menyertai perhimpunan berkenaan.
“Mereka tidak sepatutnya membawa individu berstatus ‘stateless’ atau tanpa dokumen dan saya tidak jangka ini akan berlaku. Sebab itu saya kata awal-awal lagi supaya bertindak secara rasional.
“Buatlah dengan penuh rasional, tapi apa yang dibuat, mereka boleh pula bawa yang bukan warga negara untuk meramaikan bilangan mereka.
“Ini tidak sepatutnya berlaku dan saya kesal mereka melakukannya. Saya minta jangan sekali-kali bawa bukan warga negara dalam isu yang berkaitan hal ehwal negara kita,” katanya ketika ditemui pemberita pada Sambutan 25 Tahun PKR dan Pesta Kaamatan PKR Sabah, di sini, hari ini.
Majlis anjuran Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah selaku Ketua Cabang PKR Api-Api, Datuk Chrstina Liew itu dirasmikan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.
Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar, berkata kerajaan sentiasa mendengar suara mahasiswa, namun tindakan membawa orang tanpa dokumen dalam perhimpunan mereka tidak boleh diterima.
“Saya tegaskan jangan ada mana-mana cubaan mahasiswa atau parti menggunakan bukan warga negara di sebalik isu ini (masalah air). Mana-mana pihak yang menggunakan bukan warga negara saya mahu rakyat Sabah tolak mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang,” katanya.
Sementara itu, Mustapha berkata pihaknya menyerahkan tindakan terhadap penganjur perhimpunan berkenaan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.
“Terpulang kepada mereka (polis) sebab kita ada akta yang jelas dalam isu ini, biarlah siasatan dibuat. Mereka perlu bertanggungjawab sebab kita sudah mengingatkan mereka supaya bertindak rasional,” katanya
Jumaat lalu, kira-kira 80 orang terdiri daripada mahasiswa UMS, wakil komuniti dan badan bukan kerajaan (NGO) menyertai Perhimpunan #KamiMahuAir Sabah di hadapan Menara Kinabalu dengan niat untuk menyerahkan memorandum kepada Ketua Menteri.
Sembilan daripada peserta terbabit ditahan pihak polis selepas meninggalkan lokasi perhimpunan kerana didapati tidak memiliki dokumen, namun didakwa penganjur sebagai penduduk berstatus stateless atau tanpa negara. – Info X