KOTA KINABALU: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) belum mengesahkan pelantikan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick sebagai Pengerusi PH Sabah yang baharu.
Pengerusi PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, berkata walaupun pemilihan sudah dibuat dan pemimpin parti komponen PH Sabah akur, namun keputusan akhir terletak di tangan Majlis Presiden PH.
Beliau berkata, Majlis Presiden PH akan berbincang mengenai perkara itu, terutama apabila timbul perbezaan pandangan mengenai jawatan berkenaan yang sebelum ini disandang pemimpin PKR negeri.
“Proses sudah berjalan dan kita sudah buat kenyataan bersama tetapi ada sedikit perbezaan pandangan. Itu yang disebut pimpinan pusat, Majlis Presiden PH terutamanya, mereka akan berbincang mengenai perkara ini.
“Jadi, ada perbezaan pandangan, tapi akhirnya keputusan itu akan dibuat oleh Majlis Presiden dan kita juga sudah menghantar laporan kepada Pengerusi PH.
“Bagi kami (PKR Sabah), kita akur dengan kaedah pemilihan yang sudah dibuat sebelum ini tetapi pengesahan perlu dibuat PH pusat, iaitu Majlis Presiden PH dan setakat ini belum ada pengesahan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada sambutan Krismas Sekampung Parlimen Sepanggar, di Kampung Malawa, Sepanggar, dekat sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah Timbalan Pengerusi PKR Sabah, Datuk Peto Galim; Pengerusi AMANAH Sabah, Lahirul Latigu dan Ketua UPKO Sepanggar, Datuk Wong Thien Fook.
Ewon dipilih sebagi Pengerusi PH Sabah yang baharu menerusi pemilihan yang dibuat pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang diadakan awal Disember lalu.
Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar ditanya pendiriannya mengenai kenyataan beberapa pemimpin PKR Sabah sebelum ini yang menyifatkan jawatan Pengerusi PH Sabah sepatutnya disandang oleh pemimpin parti itu.
Beliau bagaimanapun menganggap kenyataan itu sebagai pandangan peribadi pemimpin terbabit dan bukannya diputuskan oleh parti melalui mesyuarat atau perbincangan rasmi.
Berikutan situasi itu, Mustapha meminta pemimpin PKR dan semua parti komponen PH Sabah supaya tidak lagi membuat kenyataan di media mengenai perkara berkenaan.
“Saya berharap kepada semua pimpinan, sama ada daripada PKR atau parti lain supaya jangan bincang isu ini di media. Kita bincang isu ini dalam semangat kekeluargaan PH.
Memang ada perbezaan pandangan tetapi kita kena selesaikan dalam mesyuarat PH yang akan diadakan tidak lama lagi. Jadi saya fikir selepas itu perkara ini dapat diselesaikan dengan baik,” katanya. – Info X