KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah berjaya merampas barangan seludup bernilai RM22.3 juta sepanjang 2024 melalui 202 serbuan yang dilakukan di negeri ini.
Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Datuk Abdul Rani Alias berkata, dalam tempoh yang sama, pihaknya juga berjaya menahan 413 individu, termasuk 380 lelaki dan 33 wanita.
Katanya, serbuan ini membabitkan pelbagai jenis aktiviti penyeludupan, termasuk minyak diesel, minyak sawit mentah (CPO), serta barangan seperti ayam dan daging sejuk beku tanpa sijil halal yang sah di sekitar kawasan pantai barat dan timur Sabah.
“Salah satu kejayaan terbesar berlaku pada 4 Disember, iaitu Task Force Risik IP Briged Sabah PGA menjalankan serbuan di kawasan KKIP Sepanggar, menahan dua lelaki warga tempatan.

“Rampasan itu melibatkan 6,988 kotak ayam sejuk beku, 472 kotak sotong sejuk beku, 140 kotak ikan sejuk beku, serta satu kontena sejuk beku dan sebuah van, dengan jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM1.6 juta.
“Selain itu, pada 19 September, serbuan oleh Task Force Risik Batalion 14 PGA Tawau di Kampung Beruang Merotai-Tawau berjaya merampas 112,600 kilogram CPO bersama tiga lori tangki bernilai RM1.3 juta,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, serbuan ketiga terbesar berlaku pada 9 Disember di perairan Pulau Tigabu, Kudat, apabila Infantri Kompeni ‘A’ Batalion 16 PGA berjaya menahan empat lelaki warga Indonesia dan merampas sebuah kapal bersama 510 kilogram pelbagai hasil laut, bernilai RM858,000.
“Pada 21 Mei, Task Force Risik Batalion 15 PGA Sandakan juga berjaya merampas 8,800 liter diesel bersama dua lori dan treler, bernilai RM749,270 dalam satu serbuan di Batu 5 Jalan Labuk.
“Briged Sabah PGA secara khususnya melaksanakan pelbagai pendekatan serta tindakan bagi membanteras kegiatan jenayah dan penyeludupan barang-barang bersubsidi,” katanya.
Abdul Rani menambah, operasi membanteras penyeludupan ini membabitkan pelbagai pendekatan dan dijalankan melalui Op Taring Eszzone, Op Kontraban, Op Bersepadu Khazanah, dan Road Check Point, melibatkan pasukan PGA dari seluruh negeri ini.

“Serbuan dan operasi ini dilaksanakan oleh sepasukan pegawai dan anggota terdiri daripada IP Briged Sabah PGA, Batalion 14 PGA Tawau, Batalion 15 PGA Sandakan, Batalion 16 PGA Kota Kinabalu, Batalion 17 PGA Lahad Datu, Batalion 20 PGA Beluran, Batalion 21 PGA Keningau dan Batalion 22 PGA Kunak.
“Polis melalui PGA secara khususnya akan terus menjalankan tugas dan tanggungjawab bagi menjaga serta mengawal keselamatan negara dan ketenteraman awam dengan penuh tanggungjawab serta profesional demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata polis juga mengharapkan orang awam dapat menjadi mata dan telinga pihak polis dalam menghulurkan segala jenis maklumat berkaitan kes penyeludupan yang berlaku di sekitar kawasan masing-masing.
“Ini bagi memastikan negara tidak dicerobohi oleh mana-mana elemen aktiviti haram penyeludupan,” katanya.
tamat