Search

Penunggang motosikal maut dirempuh lori lawan arus

January 3, 2025

Info X Reporters

SANDAKAN: Seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh lori yang dipandu melawan arus di Jalan Sungai Batang, Batu 10, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, mengakibatkan penunggang motosikal lelaki berusia 22 tahun maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang menunggang motosikal dalam perjalanan dari arah Sibugal Besar menuju ke lampu isyarat, Batu 10 iaitu jalan sehala dua lorong.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dilanggar oleh lori dari arah bertentangan yang dipandu secara lawan arus.

“Akibat kemalangan ini penunggang motosikal meninggal di tempat kejadian, manakala pemandu lori hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Duchess Of Kent (HDOK) untuk proses bedah siasat.

“Manakala pemandu lori berusia 47 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya,” katanya. – Info X