SANDAKAN: Lima termasuk tiga wanita cedera akibat diserang lelaki bersenjatakan parang dan tukul dalam kejadian di sebuah restoran di Batu 3, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 9.11 pagi itu, suspek warga tempatan berusia 29 tahun dipercayai tiba-tiba mengamuk sebelum mencederakan kelima-lima mangsa terbabit.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, sejurus menerima panggilan, unit kereta peronda (MPV) digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, anggota polis berjaya menangkap dan mententeramkan suspek terbabit.
“Hasil siasatan awal polis mendapati suspek yang bersenjatakan parang dan tukul telah datang ke kedai makan dengan tiba-tiba menyerang mangsa yang berada di dalam restoran berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, semua mangsa berusia lingkungan 34 hingga 63 tahun cedera terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita telah dirawat di Hospital Duchess Of Kent (HDOK) dan dalam keadaan stabil.
“Suspek yang tidak mengalami sebarang kecederaan telah dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.
“Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan polis berterima kasih atas maklumat awal diberikan berkaitan kejadian itu,” katanya.
Kejadian itu turut tular di media sosial menyatakan kejadian lelaki mengamuk. – Info X