Search

Pencari ketam maut terkena renjatan elektrik sambungan haram

January 3, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut akibat terkena renjatan elektrik ketika mencari ketam di kawasan paya bakau berhampiran Lorong Kuala Neutron, Kampung Likas, di sini malam tadi.

Difahamkan, mangsa berusia 43 terkena kabel elektrik yang disambung secara haram oleh penghuni setinggan di kawasan itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Agustavia Joe Guasi berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan jam 10.45 malam, pihaknya menggerakkan 10 anggota dan sebuah jentera ke lokasi kejadian.

Mangsa disahkan meninggal dunia dipercayai akibat terkena renjatan elektrik di paya bakau di Kampung Likas, Kota Kinabalu. – Foto/Bomba

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, terdapat seorang mangsa lelaki dipercayai terksna renjata elektrik ketika menjalankan aktiviti menangkap ketam.

“Pasukan bomba bertindak mengalihkan mangsa ke tempat yang selamat selepas bekalan elektrik diputuskan oleh pihak Sabah Electricity,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Ketika kejadian mangsa seorang diri mencari ketam di paya bakau dan ketika mencari ketam terkena renjatan elektrik oleh pendawaian haram atau sambungan haram di kawasan berkenaan.

Sambungan kabel elektrik secara haram di kawasan berkenaan. – Foto/Bomba

“Pasukan bomba terpaksa menunggu Sabah Electricity untuk membuat pemotongan bekalan elektrik sebelum mengangkat mangsa,” katanya.

Katanya lagi, mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain, operasi ditamatkan jam 12.05,” katanya. – Info X