Search

Jawatankuasa penilai bebas dicadang selesai isu tuntutan 40 peratus

March 7, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sebuah jawatankuasa penilai bebas perlu ditubuhkan bagi menyelesaikan isu tuntutan 40 peratus hasil yang dikutip kerajaan persekutuan di Sabah.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata ia sebagai langkah proaktif untuk memastikan tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) itu diselesaikan sepenuhnya.

Beliau mencadangkan penubuhan jawatankuasa itu kepada kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Sabah memandangkan isu berkenaan sudah berlarutan lebih 60 tahun.

“Cadangan ini selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 112D setelah lebih 60 tahun isu tuntutan ini berlarutan tanpa kesudahan,” katanya ketika sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, semalam.

Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah, berkata jika tuntutan 40 peratus itu dapat diselasaikan sebaiknya, Sabah akan memiliki dana kewangan untuk merancang dan melaksanakan pelbagai projek pembangunan.

Katanya, paling penting ialah dana untuk menyelesaikan isu insfrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik yang kritikal di negeri ini.

Jelasnya, dana yang mencukupi juga diperlukan untuk menyelesaikan masalah kemiskinan yang berlaku di Sabah ketika ini.

“Laporan Jabatan Perangkaan Negara sejak 1964 yang saban tahun disemak menyatakan bahawa Sabah masih kekal negeri termiskin di Malaysia.

“Perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana Sabah adalah negeri penyumbang terbesar dalam ekonomi negara melalui penghasilan petroleum, gas dan juga komoditi seperti kelapa sawit dan sebagainya.

“Namun agak menyedihkan pembangunan di antara Semenanjung dan wilayah Sabah masih tidak seimbang sedangkan Sabah turut menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.

Bung Moktar berkata jawatankuasa penilai itu penting untuk memutuskan jumlah hasil yang sepatutnya diterima Sabah setiap tahun.

Perkara itu, katanya perlu diputuskan secara tuntas bagi mengelak ia terus dijadikan isu dan polemik politik.

“Isu ini terus menjadi polemik politik sesetengah di Sabah dengan menanam api kebencian kepada kerajaan dan pemimpin pusat walaupun berada dalam blok Kerajaan Perpaduan.

“Kelantangan mereka bercakap melalui pelbagai platfrom tanpa menggunakan saluran yang betul boleh menjejaskan konsep Kerajaan Perpaduan, sebab itu ia perlu ditangani segera,” katanya. – Info X