Search

Jeffrey, pegawainya dipanggil SPRM

September 25, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, petang tadi.

Sumber berkata, Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan itu tiba di pejabat SPRM bersama dengan pegawainya kira-kira jam 5.30 petang.

Beliau dipanggil untuk memberi keterangan, dipercayai berkaitan dengan video yang didedahkan ahli perniagaan, Albert Tei menerusi sebuah portal berita, semalam.

Sumber itu berkata, Jeffrey dan pegawainya kemudian meninggalkan pejabat SPRM kira-kira jam 7 malam selepas memberikan keterangannya.

Tei mendedahkan rakaman video perbualannya dengan Kitingan, yang didakwanya menerima jumlah bayaran terbesar dalam skandal perlombongan Sabah.

Tei juga memberitahu portal berkenaan bahawa jumlah yang kononnya diberikan kepada ahli parlimen Keningau itu ialah RM1.78 juta — lebih tinggi daripada angka RM1.6 juta yang disebut dalam rakaman tersebut.

Pertemuan itu didakwa berlaku di sebuah restoran makanan laut di Kuala Lumpur pada 13 Oktober 2024 dan berkisar tentang pembatalan lesen penerokaan perlombongan. – Info X