Search

Jenayah IPD Kota Kinabalu turun 5.7 peratus, 210 anggota dikerah kawal malam tahun baharu

December 31, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kadar jenayah di daerah Kota Kinabalu berjaya dikurangkan sebanyak 68 kes atau kira-kira 5.7 peratus sepanjang tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu, hasil penguatkuasaan berterusan serta kerjasama erat antara polis dan masyarakat.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, penurunan itu melibatkan terutamanya kes jenayah pecah rumah dan jenayah jalanan yang mencatatkan pengurangan ketara sepanjang tahun ini.

“Alhamdulillah, pencapaian ini adalah hasil usaha bersama semua pihak termasuk agensi berkaitan, Komuniti Polising serta sokongan masyarakat setempat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.

Menurutnya, bagi kes kemalangan maut, terdapat sedikit peningkatan iaitu tiga kes berbanding tahun lalu, menjadikan jumlah keseluruhan 53 kes berbanding 50 kes sebelum ini, dengan lebih 60 peratus membabitkan penunggang motosikal.

“Selebihnya melibatkan pejalan kaki serta pemandu kenderaan pacuan empat roda,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan tangkapan kes narkotik menunjukkan peningkatan ketara melibatkan kes di bawah Seksyen 15 dan 12, Seksyen 39A serta 39B, termasuk tangkapan pesalah berulang di bawah Seksyen 39C yang meningkat lebih 100 peratus berbanding tahun lalu.

Bagi jenayah komersial, katanya, terdapat sedikit peningkatan dengan lebih 1,300 kes direkodkan, kebanyakannya membabitkan kes penipuan dalam talian.

Mengulas persiapan sempena sambutan malam Tahun Baharu 2026, beliau berkata seramai 210 pegawai dan anggota daripada Polis Diraja Malaysia akan ditugaskan dalam operasi kawalan keselamatan, melibatkan 24 pegawai dan 90 anggota di kawasan tumpuan.

“Kawasan sasaran termasuk Teluk Likas, Tanjung Aru, kawasan terbuka, selain laluan utama yang sering mengalami kesesakan seperti kawasan lapangan terbang, Jalan Tun Fuad Stephens dan sekitar PPNS,” katanya sambil menambah rondaan serta kawalan akan diperketatkan.

Beliau turut menegaskan usaha memperkukuh kerjasama dengan masyarakat akan terus dipertingkatkan tahun hadapan, termasuk memperluas program Komuniti Polising dan penubuhan Skim Rondaan Sukarela (SRS) di taman perumahan, seperti yang dilaksanakan di Taman Warisan.

Dalam pada itu, Kasim berkata orang ramai dinasihatkan supaya menyambut tahun baharu secara berhemah dengan menjaga ketenteraman awam, tidak bermain mercun atau bunga api tanpa kebenaran, serta tidak menjadikan jalan raya sebagai tempat berlumba.

“Pastikan hanya individu yang mempunyai lesen memandu sah berada di jalan raya kerana pemanduan tanpa lesen dikenal pasti sebagai antara punca kemalangan maut,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya berwaspada dengan keadaan cuaca tidak menentu serta keadaan jalan raya, selain menasihatkan mereka yang meninggalkan rumah agar memastikan kediaman dikunci dengan baik dan memaklumkan kepada balai polis berhampiran. – Info X