KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor berkata tahun 2026 membuka lembaran baharu untuk Sabah terus maju ke dengan keazaman yang kuat dan semangat kebersamaan.
Beliau berkata, kerajaan negeri bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang holistik, inklusif dan komprehensif, bagi memastikan kemakmuran berterusan dan masa depan yang lebih cerah dan berdaya saing untuk Sabah.
“Mengimbas kembali tahun 2025, ia adalah tahun yang baik, dibina atas asas pembangunan yang kukuh dan kemajuan konsisten melalui pelaksanaan pelan pembangunan Hala Tuju SMJ 1.0.
“Kerajaan Negeri akan meneruskan landasan ini menerusi Hala Tuju SMJ 2.0, dengan memperkukuhkan komitmen terhadap perpaduan, kemakmuran dan pembangunan inklusif agar kemajuan yang dicapai dapat dinikmati secara adil oleh seluruh rakyat Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusan Tahum Baharu 2026, di sini, pada Rabu.
Dalam perutusan itu, Ketua Menteri sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Sabah atas mandat baharu yang diberikan untuk terus memimpin negeri ini.
“Kita amat menghargai kepercayaan dan sokongan ini dan ia adalah satu amanah besar yang akan kita laksanakan dengan penuh akauntabiliti dan tanggungjawab.
“Dengan mandat yang baharu ini, Kerajaan Negeri kekal komited untuk memperkukuh tadbir urus, memastikan kestabilan politik yang berterusan dan memacu pembangunan komprehensif untuk kesejahteraan rakyat.
“Sepanjang lima tahun yang lalu, usaha berterusan untuk mewujudkan kestabilan dan persekitaran kondusif membuahkan hasil yang ketara dan memberi manfaat kepada negeri,” katanya.
Hajiji turut menyatakan harapannya agar semua rakyat Sabah dikurniakan kesihatan yang baik, kesejahteraan dan kejayaan.
“Bersama-sama rakan jemaah menteri Kabinet negeri, saya dengan penuh keikhlasan mengucapkan selamat menyambut tahun baharu kepada semua,” katanya. – Info X