Search

Lelaki maut terkena renjatan elektrik ketika mengecat rumah

December 31, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas terkena renjatan elektrik ketika sedang melakukan kerja-kerja mengecat rumah dalam kejadian di Kampung Likas, di sini, pagi tadi.

Mangsa berusia 40-an itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan terbakar sehingga putus pergelangan tangan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 10.03 pagi.

Katanya, sepasukan 10 anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Insiden melibatkan seorang mangsa lelaki yang dilaporkan terkena renjatan elektrik semasa menjalankan kerja-kerja mengecat rumah.

Pasukan bomba melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian di sebuah rumah di Kampung Likas, Kota Kinabalu.

“Mangsa terbakar dan putus pergelangan tangan telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir membantu di lokasi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 11.10 pagi, ” katanya. – Info X