Search

Jerebu: Empat daerah catat IPU tidak sihat di Sabah, bacaan di ibu negeri paling tinggi

September 1, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Bacaan indeks pencemaran udara (IPU) di bandar raya ini berada pada paras tidak sihat dengan catatan 171 setakat jam 11 pagi tadi, iaitu yang tertinggi berbanding tiga daerah lain.

Secara keseluruhan, empat daerah mencatat bacaan IPU tidak sihat sehingga jam 11 pagi hari ini dengan tiga lagi ialah Kimanis (161), Keningau (158) dan Tawau (140).

Berdasarkan data dikeluarkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Wilayah Persekutuan Labuan turut mencatatkan bacaan IPU tidak sihat dengan catatan 169.

Sementara itu, negeri jiran, Sarawak mencatat IPU berbahaya di enam lokasi berikutan bacaan melebihi 300, diikuti tiga lokasi sangat tidak sihat dengan bacaan lebih 200 dan empat lokasi mencatat bacaan tidak sihat.

Peningkatan kadar IPU di Sabah dan Sarawak dikaitkan dengan jerebu rentas sempadan yang berpunca daripada pembakaran terbuka dan kebakaran hutan di wilayah jiran, Kalimantan, Indonesia. – Info X