Search

UMS bantu penduduk Kinolosodon bangunkan projek akuakultur

September 1, 2026

Info X Reporters

PAPAR: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menggerakkan usaha menangani cabaran keterjaminan makanan di peringkat komuniti menerusi Projek Pemerkasaan Keterjaminan Makanan Komuniti Melalui Akuakultur Bersepadu di Kampung Kinolosodon, Kimanis, baru-baru ini.

Projek di bawah dana UniMADANI (UniMD040) itu dilaksanakan Institut Marin Borneo (IMB) UMS dengan menggabungkan ternakan ikan tilapia dan udang galah bersama pengeluaran sayur-sayuran seperti sawi putih (pak choy) dan salad (lettuce) dalam satu sistem pengeluaran makanan bersepadu.

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor, berkata inisiatif berkenaan turut dirangka untuk membina keupayaan penduduk mengusahakan sumber makanan secara sistematik serta menjana pendapatan melalui potensi pengkomersialan lebihan hasil.

Katanya, sistem akuakultur bersepadu yang diperkenalkan mengoptimumkan penggunaan ruang dan sumber melalui integrasi ternakan akuatik dengan tanaman sayur-sayuran, manakala teknologi akuaponik dan hidroponik membolehkan pengeluaran makanan dilaksanakan secara lestari dan saling melengkapi.

“Pendekatan UMS melalui projek ini bukan sekadar memberikan bantuan secara one-off. Kita mahu pemindahan ilmu dan teknologi berlaku supaya komuniti mempunyai keupayaan meneruskannya dengan lebih berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian projek berkenaan yang disampaikan Dekan IMB, Prof Madya Dr Ching Fui Fui @ Faihana Ching Abdullah.

Kasim berkata, pemindahan ilmu, latihan, bimbingan dan sokongan teknikal berterusan daripada penyelidik UMS menjadi antara komponen penting bagi memastikan komuniti mampu mengurus sistem berkenaan secara berdikari.

“Hasil pengeluaran yang diperoleh bukan sahaja dapat memenuhi keperluan domestik penduduk, malah lebihan hasil berpotensi dipasarkan sebagai sumber pendapatan tambahan kepada komuniti D’Sosondoton.

“Kejayaan sebenar ialah apabila projek ini terus hidup dan memberi manfaat melepasi tempoh pembiayaan asalnya,” katanya.

Sementara itu, Faihana berkata UMS berharap Kampung Kinolosodon mampu menjadi model kepada kampung lain di daerah Papar dan seluruh Sabah dalam mengadaptasi pendekatan pengeluaran makanan yang menggabungkan teknologi, ilmu akademik dan kekuatan komuniti.

“Harapan kami agar Kampung Kinolosodon menjadi contoh dan inspirasi buat kampung-kampung lain di daerah Papar dan seluruh Sabah dalam usaha merealisasikan pemerkasaan seumpama ini.

“Projek ini secara langsung menterjemahkan gagasan University for Society dengan membawa kepakaran, ilmu dan teknologi UMS keluar dari kampus untuk dimanfaatkan masyarakat, khususnya dalam menangani cabaran keterjaminan makanan dan pembangunan sosioekonomi luar bandar

Pada masa sama, katanya kerjasama melibatkan UMS, Jabatan Perikanan Negeri Sabah dan komuniti setempat memperlihatkan pendekatan bersepadu antara akademia, agensi kerajaan dan masyarakat dalam membangunkan penyelesaian yang bersesuaian dengan keperluan tempatan.

Jelasnya, inisiatif berkenaan berpotensi menjadi asas pembentukan komuniti yang lebih berdaya tahan melalui penghasilan sumber makanan tempatan, pengurangan kebergantungan kepada bekalan luar serta penciptaan peluang ekonomi berasaskan hasil pertanian dan akuakultur.

Turut hadir wakil Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sabah daripada Bahagian Pembangunan Akuakultur Marin, Anathasia Marcus; Pengarah Pusat Kelestarian Libatsama Masyarakat UMS, Prof Madya Dr Ag Sufiyan Abd Hamid; Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi IMB, Prof Madya Dr Mohd Tamrin Mohd Lal; Pengarah Pusat Penyelidikan Akuakultur, Prof Madya Dr Annita Yong Seok Kian dan Pengerusi JPKK Kampung Kinolosodon, Bonyface Benjamin. – Info X