Search

Lelaki ditahan, polis rampas ekstasi bernilai RM20,150

September 1, 2026

Info X Reporters

PENAMPANG: Seorang lelaki ditahan bersama 31 peket plastik mengandungi serbuk disyaki dadah jenis ekstasi seberat 1,060.39 gram dalam operasi di daerah ini, tengah malam tadi.

Suspek warga tempatan berusia 31 tahun itu ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Penampang di sebuah premis hiburan kira-kira 12.30 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, saringan awal air kencing mendapati suspek positif amphetamine, methamphetamine dan tetrahydrocannabinol (THC).

Katanya, siasatan lanjut susulan penahanan itu membawa kepada penemuan sebuah beg di lokasi berasingan.

“Pemeriksaan terhadap beg berkenaan menemukan 31 paket plastik mengandungi serbuk disyaki ekstasi seberat 1,060.39 gram.

“Dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM20,150,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sammy berkata, IPD Penampang akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah demi keselamatan serta kesejahteraan masyarakat. – Info X