Search

Jerebu: Kerajaan perlu buat keputusan jelas, bukan serah kepada ibu bapa – Pemimpin Warisan

September 8, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan sepatutnya membuat keputusan yang jelas dan seragam, bukannya memindahkan tanggungjawab kepada ibu bapa sama ada menghantar atau tidak anak mereka ke sekolah disebabkan jerebu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tham Yun Fook, berkata walaupun langkah kerajaan melalui Kementerian Pendidikan membenarkan ibu bapa tidak menghantar anak ke sekolah adalah baik, ia bukan keputusan yang tepat.

Katanya, kerajaan perlu membuat keputusan yang seragam tanpa menyerahkan kepada ibu bapa kerana pendekatan itu bakal mewujudkan dua kumpulan murid dan pelajar iaitu yang hadir dan tidak hadir jika ia dilaksanakan.

“Saya menghormati keprihatinan Menteri Pendidikan yang membenarkan ibu bapa untuk tidak menghantar anak ke sekolah sekiranya bimbang terhadap kesihatan anak-anak akibat jerebu.

“Walaupun niatnya baik, saya berpandangan bahawa pendekatan ini bukanlah penyelesaian yang terbaik dan tidak wajar dijadikan dasar utama dalam menguruskan situasi jerebu yang sedang melanda negara.

“Kerajaan mempunyai akses kepada data Indeks Pencemaran Udara (IPU), nasihat pakar kesihatan awam, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kementerian Kesihatan dan pelbagai agensi berkaitan.

“Oleh itu, kerajaan sepatutnya membuat keputusan yang jelas dan seragam, bukannya memindahkan tanggungjawab membuat keputusan kepada ibu bapa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Pemimpin Parti Warisan itu berkata, Menteri Pendidikan sebelum ini menjelaskan bahawa tindakan KPM adalah berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK), yang menetapkan aktiviti luar dihentikan apabila IPU melebihi 100 dan sekolah ditutup apabila IPU melebihi 200.

“Sekiranya ibu bapa dibenarkan menentukan sendiri sama ada anak hadir atau tidak ke sekolah, maka akan wujud dua kumpulan murid. Kumpulan pertama tidak hadir kerana ibu bapa bimbang terhadap risiko kesihatan, manakala kumpulan kedua hadir dan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) diteruskan seperti biasa.

“Keadaan ini akan menyebabkan murid yang tidak hadir berisiko ketinggalan dalam pembelajaran. Pada masa yang sama, murid yang hadir pula masih terdedah kepada risiko kesihatan akibat pencemaran udara yang tidak sihat.

“Akhirnya, kedua-dua kumpulan murid berdepan kerugian yang berbeza sedangkan masalah sebenar berpunca daripada kegagalan kerajaan membuat keputusan yang lebih menyeluruh,” katanya.

Beliau juga berpandangan sudah tiba masanya Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan dikaji semula, memandangkan ambang tindakan yang digunakan hari ini mungkin sesuai pada era sebelum pandemik COVID-19, namun landskap pendidikan negara sudah banyak berubah.

Katanya, sepanjang pandemik, sistem pendidikan negara memperoleh pengalaman luas dalam melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), pembelajaran dalam talian serta pembelajaran hibrid.

“Malah, Ketua Pengarah Pendidikan sendiri pernah menyatakan bahawa sistem pendidikan negara mempunyai kesiapsiagaan untuk beralih kepada kaedah pembelajaran dalam talian atau hibrid apabila berdepan situasi kecemasan dan gangguan luar jangka.

“Oleh itu, saya mencadangkan supaya KPM mempertimbangkan beberapa penambahbaikan, pertama mengkaji semula ambang tindakan PTJK bagi sektor pendidikan berdasarkan perkembangan teknologi dan pengalaman.

“Kedua, membenarkan pelaksanaan PdPR atau pembelajaran hibrid secara sementara di kawasan yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat secara berterusan tanpa perlu menunggu sehingga melepasi paras 200.

“Ketiga, memberi kuasa yang lebih fleksibel kepada Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah untuk membuat keputusan berdasarkan keadaan setempat kerana tahap jerebu berbeza antara daerah dan negeri.

“Akhirnya yang keempat, memastikan semua murid menerima akses pembelajaran yang sama ketika gangguan jerebu berlaku supaya tiada murid tercicir hanya kerana ibu bapanya memilih untuk mengutamakan faktor kesihatan,” katanya.

Yun Fook berkata, kesihatan murid dan kesinambungan pendidikan tidak sepatutnya dilihat sebagai dua pilihan yang saling bertentangan kerana dengan teknologi yang ada pada hari ini, kedua-duanya boleh dilindungi secara serentak.

Tegasnya, kerajaan perlu memimpin dengan membuat keputusan yanng jelas, konsisten dan berpandangan jauh, bukannya menyerahkan beban membuat keputusan kepada ibu bapa semata-mata. – Info X