BEAUFORT: Kehilangan komponen tembaga bernilai kira-kira RM25,000 di Pencawang Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Bandar Mingo, di sini, dipercayai akibat dicuri.
Kejadian disedari selepas pintu pencawang terbabit ditemukan mempunyai kesan umpil, manakala komponen membabitkan ‘busbar earthing’ dan sambungan ‘busbar’ dilaporkan hilang.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 6 September lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Menurutnya, kejadian mencuri komponen tembaga di pencawang SESB semakin kerap berlaku di daerah berkenaan hingga menyebabkan kerugian besar kepada syarikat terbabit.
“Perbuatan itu turut berpotensi mengakibatkan gangguan bekalan elektrik kepada pengguna.
“Polis sedang giat menjalankan operasi bagi mengesan suspek dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terbabit,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pengusaha serta pembeli barangan lusuh supaya tidak menerima atau membeli tembaga yang dijual pada harga tidak munasabah atau diperoleh daripada sumber meragukan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menyalurkannya kepada pihak polis atau Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) bagi membantu siasatan,” katanya. – Info X