Search

Jerebu: Lima kawasan di Sabah catat IPU tidak sihat

September 2, 2026

Info X Reporters

LABUAN, 31 Ogos - Pemandangan berjerebu dirakam di sekitar Jeti Marina Awam Labuan dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 165 setakat 6 petang tadi. Selain Labuan, beberapa kawasan lain turut mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat, iaitu Miri (177), Kota Kinabalu (156) dan Bandar Seri Begawan, Brunei (163). - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA Photographed By: MUQTADIR HALIM (STR)

KOTA KINABALU: Lima kawasan di Sabah merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 8 pagi ini, susulan keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan di negeri itu.

Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), bacaan tertinggi direkodkan di Politeknik Kota Kinabalu dengan 185, diikuti Kota Kinabalu 179, Kimanis 175, Keningau 173 dan Sandakan 152.

Tawau pula merekodkan bacaan IPU 123, yang turut dikategorikan sebagai tidak sihat.

Bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala 201 hingga 300 adalah sangat tidak sihat dan melebihi 300 berada pada tahap berbahaya.

Dalam perkembangan sama, keadaan jerebu lebih serius di Sarawak apabila tiga kawasan merekodkan bacaan IPU pada tahap berbahaya.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian mencatatkan bacaan tertinggi di negara ini iaitu 320, diikuti Kuching 318 dan Samarahan 302.

Lima lagi kawasan di Sarawak turut merekodkan bacaan pada tahap sangat tidak sihat, iaitu Sibu dengan 292, Sarikei 283, Mukah 241, Bintulu 226 dan Sri Aman 214.

Sementara itu, sebanyak 44 stesen di seluruh negara mencatatkan bacaan IPU pada tahap sederhana, manakala tiada stesen merekodkan bacaan pada tahap baik.

Keadaan jerebu di Sabah sebelum ini dikaitkan dengan pencemaran udara rentas sempadan susulan kebakaran hutan dan tanah gambut di Kalimantan yang asapnya dibawa angin merentasi wilayah Borneo.

Orang ramai, khususnya golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas, wanita mengandung dan individu yang mempunyai masalah pernafasan, dinasihatkan mengehadkan aktiviti luar serta mengelakkan aktiviti fizikal dan lasak ketika kualiti udara berada pada tahap tidak sihat.-Info X