PITAS: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun lemas ketika mandi bersama empat individu lain di Sungai Bengkoka, Kampung Pondoi, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian itu, dua kanak-kanak perempuan berusia empat dan 14 tahun hampir lemas sebelum dihantar ke hospital, manakala remaja perempuan berusia 18 tahun dan remaja lelaki berusia 14 tahun terselamat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pitas, Noor Jali Maslah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.17 petang.
Katanya, enam anggota bersama jentera dan bot Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tiba di lokasi pada 5.41 petang.
“Pasukan bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan kaedah pencarian di permukaan air dalam radius satu kilometer dari Pusat Kawalan Bomba (PKB).
“Operasi diteruskan sehingga mangsa ditemukan penduduk kampung pada 7.36 pagi tadi, kira-kira satu kilometer dari PKB,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba membawa mangsa keluar menggunakan pengusung sebelum diserahkan kepada polis.
“Mangsa kemudian dihantar ke hospital oleh polis dan disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Operasi ditamatkan pada 8.25 pagi selepas pasukan memastikan tiada lagi bahaya di lokasi,” katanya.
Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan I Gabuh Maradan dengan bantuan empat anggota polis. – Info X