Search

Pusat Kawalan Operasi Bencana diaktifkan berikutan peningkatan IPU

September 2, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengaktifkan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Negeri dan PKOB peringkat daerah di Kota Kinabalu, Keningau dan Papar berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menghampiri bacaan 200 pada Rabu.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata perkara itu sudah dimaklumkan kepada Ketua Menteri, Datuk Ser Hajiji Noor.

“Pelan tindakan mengikut kawasan ini adalah berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Setakat jam 5 petang Selasa (1 September) bacaan IPU di Kota Kinabalu adalah 177, Tawau (153), Keningau (165), Kimanis, Papar (166) dan Politeknik Kota Kinabalu (153), semuanya pada tahap tidak sihat.

Zainudin berkata Ketua Menteri juga dimaklumkan bahawa peningkatan IPU dipengaruhi oleh pergerakan angin menghala ke arah Sabah dan dijangka meningkat dengan konsisten selagi tiada hujan berlaku di Kalimantan.

Beliau berkata berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, semua kawasan Kota Kinabalu, Tawau, Keningau, Kimanis dan Politeknik Kota Kinabalu adalah dikategorikan dalam tahap Amaran 1A.

“Bagi tahap Amaran 1A, antara tindakan yang ditetapkan ialah menghentikan aktiviti di luar bilik darjah, menangguhkan aktiviti kokurikulum dan sukan, memberikan hebahan kepada orang awam berkaitan bacaan IPU serta langkah berjaga-jaga, meningkatkan penguatkuasaan dan mempergiatkan pemantauan terhadap industri serta tapak pelupusan sampah,” katanya.

Zainudin berkata pengisytiharan darurat atau bencana jerebu akan dilaksanakan apabila bacaan IPU mencecah 500 dan ke atas.

Beliau mencadangkan agar aktiviti rasmi Kerajaan Negeri dibatalkan atau ditangguhkan sekiranya bacaan IPU mencapai atau melebihi 200, manakala aktiviti di dalam bangunan masih dibenarkan.

Zainudin berkata Kerajaan Negeri juga akan mengesyorkan agar sekolah-sekolah di kawasan yang mencapai bacaan atau melebihi 200 ditutup dan menjalani pembelajaran dari rumah.

“Dicadangkan agar pelaksanaan solat hajat diadakan di setiap daerah bagi umat Islam sebagai salah satu usaha memohon perlindungan dan kesejahteraan.

“Pada masa yang sama, rumah-rumah ibadah agama lain turut disarankan untuk melaksanakan aktiviti keagamaan yang bersesuaian mengikut kepercayaan dan amalan masing-masing,” katanya. – Info X