KOTA KINABALU: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) diminta bertindak proaktif melihat dan menjaga kebajikan imam serta bilal, selain keperluan masjid dan surau di negeri ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kebajikan imam dan bilal perlu diberi perhatian sejajar kedudukan mereka sebagai tonggak penting institusi masjid dan surau.
Katanya, perkara itu sejajar dengan komitmen kerajaan negeri memastikan kebajikan dan keperluan imam serta bilal sentiasa dijaga dan diambil perhatian sewajarnya.
“InsyaAllah, kerajaan negeri akan sentiasa membuat pemantauan dan pertimbangan terbaik bagi memastikan institusi masjid di negeri ini dapat bergerak dengan berkesan dan cemerlang,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa dan Perasmian Masjid Al-Falah, Kepayan di, sini, malam tadi.
Hajiji berkata, kerajaan negeri juga komited terhadap program berkaitan pembangunan syiar Islam di negeri ini, dengan memperuntukkan RM131 juta bagi tujuan itu pada tahun ini.
Katanya, peruntukan itu bagi membiayai pembangunan dan operasi sekolah agama Islam dan masjid serta program kerohanian di bawah seliaan JHEAINS.
“Ini adalah sebahagian daripada usaha kita untuk terus menyokong program berkaitan pembangunan dakwah, sekali gus meningkatkan syiar Islam negeri ini,” katanya.
Beliau berkata, program pembangunan Islam di negeri ini dapat diperkasakan lagi menerusi sokongan padu agensi kerajaan persekutuan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).
Sementara itu, Hajiji berkata, peranan masjid di negeri ini perlu diperkasakan seiring dengan modenisasi semasa agar ia benar-benar berfungsi membangunkan insan dan masyarakat ke arah lebih progresif dan bertamadun tinggi.
Katanya, beberapa pendekatan harus diambil dan dijadikan keutamaan dalam usaha menjadikan masjid sebagai pusat pembangunan insan, khususnya masyarakat Islam.
“Antaranya, masjid hendaklah dijadikan pusat keilmuan dan kegiatan keIslaman dengan mengadakan pengajian ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah.
“Selain itu, masjid juga hendaklah menganjurkan kelas-kelas ilmiah yang lain seperti pembelajaran komputer, sains, matematik dan sebagainya.
“Bahkan, masjid juga perlu dijadikan sebagai pusat kegiatan hal ehwal wanita, remaja dan kanak-kanak, di samping menjadi pusat ekonomi masyarakat setempat.
“Pendek kata, masjid sebagai rumah ibadah, harus diperluaskan fungsi dan peranannya, agar institusi masjid dapat dimanfaatkan sepenuhnya ke arah kemajuan dan pembangunan ummah”, katanya.
Hajiji berkata, pembangunan institusi masjid sangat penting dalam membangunkan masyarakat dan umat Islam, terutama dalam era kontemporari yang kian mencabar.
Dalam pada itu, beliau berkata Masjid Al-Falah Kepayan yang dirasmikannya petang semalam mula dibina pada 2013 sebagai tambahan kepada masjid sedia ada di kawasan berhampiran seperti Masjid At-Taqwa RTM Sabah dan Masjid Nur Islam, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, selain Surau Assolihin di Taman Austral dan Surau Istiqomah, Taman Olivia.
Katanya, pembinaan masjid di sekitar Kepayan itu bagi memenuhi keperluan penduduk setempat yang semakin bertambah sejajar kedudukan Kepayan dan Penampang sebagai kawasan yang pesat membangun.
Hajiji berkata, penghargaan harus diberikan kepada bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman atas persetujuan beliau untuk membina Masjid Al-Falah Kepayan sebagai hadiah kepada komuniti Islam di Kepayan dan kawasan sekitarnya. – Info X